MACHANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Machang meredah banjir setinggi kira-kira 0.5 meter bagi membantu seorang lelaki warga emas yang menghidap strok dan terkandas di Kampung Temangan, di sini, pada Rabu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Machang, Leftenan (PA) Ahmad Suhaizi Ahmad Suhaimi berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.01 pagi.
Menurutnya, anggota APM bersama seorang Pembantu Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Temangan bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 10.50 pagi.

“Laluan ke rumah mangsa dinaiki air menyebabkan anggota terpaksa meredah banjir sejauh kira-kira satu kilometer,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa berusia 70 tahun itu dirawat selama lebih satu jam sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.01 tengah hari.
Tambahnya, operasi melibatkan sebuah lori dan sebuah ambulans dengan kekuatan 10 pegawai serta anggota lain-lain pangkat.
“Mangsa, Mohd Yusuf Awang, memerlukan rawatan susulan akibat penyakit strok yang dihadapinya dan terkandas kerana laluan ke kediamannya dikepung banjir,” katanya.
IMedikel TV






