Home Buletin Semasa OPS KHAS RENTAS SEMPADAN ZON TIMUR 2025: JPJ KELUARKAN 210 NOTIS SAMAN

OPS KHAS RENTAS SEMPADAN ZON TIMUR 2025: JPJ KELUARKAN 210 NOTIS SAMAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebanyak 210 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan dalam operasi penguatkuasaan bersama JPJ Terengganu dan JPJ Pahang bermula Isnin lalu.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, operasi itu dijalankan menerusi Ops Khas Rentas Sempadan Zon Timur 2025 di lokasi tumpuan iaitu sempadan Kuantan – Kemaman, Lipis – Gua Musang, Cameron Highlands – Lojing dan sempadan Pasir Puteh – Kuala Besut atau Jerteh.

“Operasi itu melibatkan 37 anggota dari tiga negeri berkenaan.

”Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 386 buah kenderaan diperiksa, namun hanya 68 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Misuari berkata, kesalahan paling tinggi dikesan adalah lampu brek tidak berfungsi, tayar haus dan pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan manakala kedua tertinggi adalah kegagalan memperbaharui atau tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) diikuti kesalahan tiada perlindungan insurans.

Katanya, sebanyak sembilan kenderaan disita mengikut Seksyen 64 (1) APJ 1987 termasuk tiga lori atas kesalahan LKM dan insuran tamat tempoh, dua kenderaan klon membabitkan kenderaan jenis kereta Honda Jazz dan Suzuki Swift serta tiga lori atas kesalahan muatan melebihi 50 peratus yang disita mengikut Seksyen 80 Akta Perkhidmatan Awam Darat (APAD) 2010.

“Sebanyak 92 notis dikeluarkan serta 107 kesalahan dikesan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kaedah-kaedah serta APAD 2010.

“Notis saman dikeluarkan dan tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya,” katanya.

Jelasnya, operasi itu sebagai langkah untuk memastikan pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan persendirian dan perdagangan serta pemandu yang beroperasi merentasi sempadan tiga negeri.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here