Home Hiburan ANNA TERKEJUT NAMA ‘HILANG’ DALAM KREDIT PENUTUP FILEM SUKMA

ANNA TERKEJUT NAMA ‘HILANG’ DALAM KREDIT PENUTUP FILEM SUKMA

212
0

KUALA LUMPUR: Populariti yang diraih aktres sensasi, Anna Jobling, sejak kebelakangan ini tidak membuatkan dirinya hanyut dengan kemanisan kejayaan semata-mata.

Sebaliknya, aktres berusia 26 tahun itu memilih untuk memberi fokus kepada perancangan masa depan, termasuk aspek kewangan dan kerjaya yang disusun secara seimbang.

Selain aktif mengembangkan kerjaya lakonan di dalam dan luar negara, Anna turut mengamalkan pelaburan emas sebagai strategi jangka panjang bagi memastikan kestabilan hidup.

“Saya sering menasihatkan rakan dan ahli keluarga supaya mula melabur. Tak perlu beli emas RM10,000 atau RM20,000 sekali gus. Kita boleh mula dengan jumlah kecil, seperti beberapa gram sahaja,” katanya.

Anna berkata, harga emas yang sentiasa meningkat menjadikannya antara bentuk pelaburan paling selamat.


“Walaupun ada turun naik, nilainya akan naik semula. Jadi emas adalah pelaburan yang baik, mudah diakses dan senang dipelajari,” katanya ketika ditemui pada pelancaran eksklusif Tomei Raya bersama Anna Jobling di Tomei HQ, di ibu negara, baru-baru ini.

Menurut pemenang trofi Bintang Asia Terbaik pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul (SDA) 2025 itu, minat terhadap emas turut berkembang menjadi hobi.

“Saya memang gemar mengumpul emas. Sebab itu saya serasi bekerjasama dengan jenama barang kemas kerana ia selari dengan minat saya,” katanya.

Anna berkata, pendedahan terhadap proses penghasilan barang kemas membuatkan dia lebih menghargai nilai emas.

“Saya belajar mengenai proses dan tempoh penghasilan rekaan. Jadi bila orang tanya tentang barang kemas, saya tahu apa yang hendak disampaikan,” katanya.

Karier makin berkembang

Dalam pada itu, Anna turut berkongsi perkembangan terbaharu kerjaya lakonannya yang semakin meluas di Indonesia.

“Saya baru selesai penggambaran filem di Indonesia bersama Erma Fatima, turut dibintangi Datin Seri Umie Aida, Puteri Sarah dan Lukman Sardi,” katanya.

Filem itu dijangka ditayangkan pada Ramadan dan Anna mengakui teruja menantikan tayangannya.

“Selepas ini, saya akan terbabit dengan satu lagi filem di Indonesia serta drama di Malaysia. Tahun ini memang sibuk,” katanya.

Namun, katanya, Malaysia tetap menjadi keutamaan.

“Di sini rumah saya dan tempat yang paling membuatkan saya selesa,” katanya.

Mengulas kontroversi ketiadaan namanya dalam kredit penutup filem Indonesia berjudul Sukma, Anna berkata perkara itu tidak disedarinya pada awal dan berkemungkinan berpunca daripada isu teknikal.

“Saya sendiri tak perasan kerana belum buat pemeriksaan. Mungkin berlaku isu teknikal ketika dimasukkan ke platform Netflix,” katanya.

Menurut Anna, namanya tertera dalam kredit penutup ketika filem itu ditayangkan di pawagam Indonesia.

“Sebab itu saya belum pasti punca sebenar dan akan dapatkan penjelasan lanjut,” katanya.

Anna berkata, dia tidak terlalu mempersoalkan perkara berkenaan dan percaya setiap watak mempunyai nilai tersendiri.

“Nama saya masih tersenarai sebagai pelakon dan saya bukan watak utama. Kalau saya watak utama, mungkin saya akan lebih tertanya-tanya,” katanya.

Bagaimanapun, Anna mengakui setiap pelakon sememangnya mahu pengiktirafan terhadap hasil kerja mereka.

“Sebagai pelakon, sudah tentu kita mahu nama diiktiraf. Namun buat masa ini, isu itu kecil dan akan dibincangkan dengan pihak pengurusan apabila berkesempatan,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here