Home Buletin Semasa ANGKARA 5 KILANG E-WASTE HARAM, PENCEMARAN BAU DI SEGAMAT- JAS

ANGKARA 5 KILANG E-WASTE HARAM, PENCEMARAN BAU DI SEGAMAT- JAS

132
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati lima kilang memproses sampah elektronik (e-waste) haram di Kawasan Perindustrian Segamat 2, Johor telah melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan bakal dikenakan denda sehingga RM10 juta atau hukuman penjara,

Menurut Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam suatu kenyataan, pihaknya akan terus membuat pemantauan di kawasan tersebut bagi mengenalpasti sekiranya masih terdapat premis memproses buangan terjadual yang beroperasi tanpa kelulusan.

“Setakat ini, kami sedang melengkapkan kertas siasatan bagi tindakan perundangan ke atas premis tersebut yang mengakibatkan pencemaran bau di kawasan berkenaan.

“Susulan 17 aduan yang diterima daripada penduduk berhampiran kawasan tersebut, pihak kami mendapati sebanyak tujuh premis yang berpotensi menyebabkan berlaku pencemaran.

”Siasatan mendapati lima premis telah melakukan perlanggaran terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kesemua premis tersebut didapati menghasilkan bahan buangan seperti buangan bateri litium (SW103), aluminium dros (SW104), buangan e-waste (SW110) serta buangan kabel yang tercemar dengan buangan terjadual (SW422).

Mengikut Seksyen 18(1) dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, premis yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya; manakala Seksyen 34A(6) memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta.

Selain itu, premis juga boleh dikenakan tindakan berdasarkan Seksyen 34B (1)(a) iaitu penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM10 juta.

“Berikutan masalah ini, saya meminta pihak industri hendaklah memainkan peranan penting dalam memastikan operasi kilang atau premis mereka memenuhi semua keperluan perundangan alam sekitar dan tidak melakukan pencemaran alam sekitar.

“Konsep pematuhan kendiri perlulah dibudayakan dan setiap tindakan atau keputusan yang diambil hendaklah mengambil kira elemen pengurusan alam sekitar yang baik.

Sehubungan itu, setiap anggota masyarakat juga perlu bertindak menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan membantu menyalurkan maklumat serta aduan kepada pihak berkuasa termasuk JAS mengenai aktiviti yang merosakkan alam sekitar untuk tindakan penguatkuasaan.

Sebarang aduan berkaitan pencemaran alam sekitar boleh disalurkan melalui talian bebas tol 1-800- 88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. – JAS –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here