Home Sukan ALONSO BELUM PUTUSKAN MASA DEPAN DALAM F1

ALONSO BELUM PUTUSKAN MASA DEPAN DALAM F1

167
0

LONDON: Memetik laporan REUTERS menerusi Harian Metro juara dunia dua kali, Fernando Alonso berkata, bahawa dia mahu menikmati setiap detik musim baharu Formula Satu (F1) dan masih belum membuat keputusan sama ada musim ini menjadi yang terakhir buat dirinya.

Bercakap kepada Reuters ketika majlis pelancaran livery Aston Martin F1 Team di Arab Saudi sebelum ujian pramusim di Bahrain, pelumba Sepanyol berusia 44 tahun itu yang juga pelumba paling berusia dalam grid F1, berkata dia kekal bermotivasi selepas mencatat rekod 425 permulaan Grand Prix.

F1 memasuki era enjin baharu musim ini dan Aston Martin juga memulakan langkah baharu dengan Honda Racing Corporation menggantikan Mercedes-AMG High Performance Powertrains sebagai pembekal enjin.

Musim perlumbaan dijadual bermula di Australia pada 8 Mac.

Jentera AMR26 itu juga adalah kereta pertama pasukan berpangkalan di Silverstone ini di bawah kepimpinan pakar reka bentuk juara pelbagai gelaran, Adrian Newey, serta bimbingan teknikal bekas jurutera Ferrari, Enrico Cardile.

“Tahun pertama dalam set peraturan baharu ini akan memberi banyak aksi dan banyak input serta maklum balas daripada pemandu. Saya rasa musim ini akan sangat menarik dari sudut pandang pemandu.

“Saya berasa sangat bangga menjadi sebahagian daripada organisasi ini. Saya tidak pasti sama ada ini musim terakhir, tetapi perancangan saya ialah menikmati setiap saat.

“Jika saya menyertai satu musim lagi, saya juga berasa gembira. Jadi kita lihat bagaimana keadaan nanti. Saya akan menilai perlumbaan demi perlumbaan,” kata Alonso.

Alonso, yang kali terakhir memenangi Grand Prix pada 2013 ketika bersama Ferrari, meraih dua gelaran dunianya bersama Renault pada 2005 dan 2006.

“Saya berasa sangat bermotivasi. Saya berasa sangat fokus terhadap sistem baharu ini. Tetapi Formula Satu ialah sukan yang dinamik. Ia sentiasa berubah setiap minggu.

“Bukan sekadar bahagian perlumbaan, ada juga banyak acara pemasaran dan komitmen di luar trek yang membuat tenaga kamu semakin berkurangan sepanjang musim,” katanya. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here