LONDON: Real Madrid menerima berita baik menjelang pertembungan dengan Juventus selepas Trent Alexander-Arnold pulih daripada kecederaan hamstring di kaki kirinya dan berkemungkinan disenaraikan oleh Xabi Alonso dalam saingan Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis ini.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, pemain bek kanan dari England itu, yang juga tonggak utama ditandatangani kelab untuk musim 2025/26 diketepikan sejak 16 September, ketika Madrid menewaskan Olympique de Marseille 2-1.
Pada masa itu laporan menjangkakan dia akan berehat antara enam hingga lapan minggu, namun pemulihannya berjalan lebih baik daripada jangkaan.
Madrid bakal berdepan Juventus dengan pilihan terhad di posisi bek kanan. Selain Arnold, Dani Carvajal juga sedang mengalami kecederaan sekali gus memaksa Xabi Alonso untuk membuat pengubahsuaian dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Jangkaannya, Arnold akan memulakan perlawanan di bangku simpanan dan secara beransur-ansur mendapatkan semula minit permainan. Kepulangannya menjadi kelegaan buat barisan kejurulatihan, terutamanya dengan jadual padat yang menanti dan ruang penggiliran yang terhad.
Menurut media Sepanyol As, Arnold berpeluang besar bukan sahaja disenaraikan untuk perlawanan Liga Juara-Juara, tetapi juga untuk perlawanan El Clásico menentang Barcelona dalam aksi LaLiga pada Ahad.
Perlawanan itu sekali lagi akan berlangsung di Santiago Bernabéu, di mana Madrid akan cuba meneruskan rentak kemenangan dan mengekalkan kedudukan teratas liga.
Kecederaan benar-benar menguji kekuatan skuad Madrid kebelakangan ini. Selain Arnold dan Carvajal, pemain seperti Huijsen dan Ceballos juga masih berada dalam senarai kecederaan dan akan terlepas perlawanan menentang Juventus, walaupun dijangka boleh kembali beraksi pada hujung minggu ini.
Ketua jurulatih Xabi Alonso menggilirkan skuadnya bagi mengurangkan keletihan dan mengelakkan lebih banyak kecederaan.
Walaupun berdepan pelbagai kecederaan, Madrid masih kekal kompetitif. Pasukan itu memenangi perlawanan penting dalam kempen Liga Juara-Juara setakat ini dan masih berada dalam kelompok teratas LaLiga.
Kepulangan pemain-pemain utama pada penghujung Oktober dijangka dapat mengembalikan rentak, memperkukuh kedalaman skuad dan menstabilkan prestasi pasukan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






