Home Sukan AIR MATA RONALDO NOKTAH AKHIR APABILA PORTUGAL GAGAL DI PIALA DUNIA 2026

AIR MATA RONALDO NOKTAH AKHIR APABILA PORTUGAL GAGAL DI PIALA DUNIA 2026

36
0

ARLINGTON: Cristiano Ronaldo sudah memenangi hampir segala-galanya dalam karier gemilangnya, namun satu trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia tetap gagal berada dalam genggamannya apabila Portugal tersingkir di pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, perjalanan legenda berusia 41 tahun itu berakhir dengan penuh emosi selepas Portugal tewas 0-1 kepada Sepanyol hasil jaringan lewat Mikel Merino pada minit ke-91, sekali gus menamatkan penampilan terakhir Ronaldo di pentas Piala Dunia.

Sehari sebelum perlawanan, Ronaldo mengesahkan edisi 2026 adalah penampilan terakhirnya di Piala Dunia, namun menegaskan dia tidak mempunyai sebarang penyesalan terhadap karier luar biasanya yang menjangkau lebih dua dekad.

Jurulatih Portugal, Roberto Martinez, menyifatkan Ronaldo sebagai ikon bola sepak dunia yang meninggalkan legasi luar biasa serta menjadi contoh kepimpinan sepanjang kejohanan.

“Kami akan sentiasa berterima kasih atas segala usaha yang dilakukannya di Piala Dunia ini. Impiannya adalah untuk menjulang trofi dan dia berjuang dengan menunjukkan contoh kepimpinan yang luar biasa sebagai kapten. 

“Ini bukan masanya untuk bercakap mengenai perkara lain. Dia adalah ikon bola sepak. Tidak ramai pemain seperti Cristiano Ronaldo,” katanya. 

Sepanjang enam penampilan di Piala Dunia sejak 2006, Ronaldo merekodkan 27 penampilan dengan 11 gol. Satu-satunya jaringan di pusingan kalah mati hadir pada edisi kali ini ketika membantu Portugal menewaskan Croatia pada pusingan 32 terbaik.

Pencapaian terbaiknya di Piala Dunia kekal ketika membantu Portugal mara ke separuh akhir pada edisi 2006 di Jerman. Ketika itu, Ronaldo yang baru berusia 21 tahun menjaringkan penalti kemenangan ke atas England pada suku akhir sebelum Portugal tewas kepada Perancis di separuh akhir.

Meskipun muncul antara pemain terbaik sepanjang zaman, kejayaan di Piala Dunia sentiasa menghantuinya. Berbeza dengan Lionel Messi yang membawa Argentina ke final 2014 sebelum menjulang trofi pada 2022, perjalanan Ronaldo di kejohanan terbesar dunia itu sering berakhir dengan kekecewaan.

Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente turut memberikan penghormatan kepada Ronaldo dengan menyifatkannya sebagai contoh terbaik kepada generasi muda.

“Saya amat mengaguminya, nilai yang dibawanya dan cara dia mendekati sukan ini. Dia adalah contoh terbaik buat pemain muda. Setiap kali kami bertemu, kami saling menghormati dan berbangga dapat mengenalinya,” katanya.

Walaupun gagal menakluk Piala Dunia, nama Cristiano Ronaldo akan terus dikenang sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak, dengan trofi paling diidamkan itu menjadi satu-satunya impian besar yang tidak kesampaian. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here