Home Buletin Semasa RAKYAT MALAYSIA KINI BACA 24 BUKU SETAHUN TERMASUK FIZIKAL DAN DIGITAL

RAKYAT MALAYSIA KINI BACA 24 BUKU SETAHUN TERMASUK FIZIKAL DAN DIGITAL

39
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Kadar pembacaan rakyat Malaysia terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila purata buku yang dibaca setiap individu meningkat daripada hanya dua buah buku setahun pada 2005 kepada 24 buah buku setahun pada 2023.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, dapatan kajian turut menunjukkan sebanyak 88.6 peratus rakyat Malaysia mengamalkan tabiat membaca sama ada melalui bahan bacaan fizikal mahupun digital.

Beliau berkata, daripada purata 24 buah buku yang dibaca setiap tahun, sebanyak 16 buah adalah dalam bentuk fizikal manakala lapan lagi dibaca secara digital.

“Statistik ini jelas menunjukkan bahawa rakyat kini mengamalkan pembacaan secara seimbang antara bahan bercetak dan bahan digital.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa pelbagai inisiatif kerajaan dalam menggalakkan amalan membaca telah memberikan impak yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC), di sini, malam tadi.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Mengulas lanjut, Aaron berkata pesta buku kekal menjadi platform penting dalam menyemarakkan budaya membaca, selain mempertemukan penulis, penerbit dan pembaca serta menyokong perkembangan industri perbukuan negara.

“Buktinya, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 telahmencipta rekod baharu dengan kehadiran lebih 2.4 juta pengunjung, sekali gus membuktikan bahawa minat rakyat terhadap buku fizikal masih sangat kukuh.

“Justeru, penganjuran Pesta Buku ASEAN ini amat bertepatan sebagai satu platform untuk memperluaskan akses masyarakat kepada bahan bacaan berkualiti, menyemarakkan budaya ilmu, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, serta merancakkan industri buku tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aaron berkata kementeriannya komited memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), platform digital dan media kreatif bagi memperkenalkan seni kaligrafi kepada generasi muda.

Beliau berkata seni kaligrafi, sama ada khat Jawi, kaligrafi Cina, Tamil mahupun pelbagai bentuk tulisan tradisional lain, mempunyai nilai tinggi dalam sejarah.

“Walaupun dunia kini berkembang pesat dengan kemajuan teknologi digital dan AI, seni kaligrafi tetap mempunyai nilai yang tidak boleh diganti.

“Justeru, seni kaligrafi harus terus dipelihara, dimartabatkan dan diangkat sebagai warisan budaya yang hidup agar tidak tenggelam dalam arus digitalisasi yang serba pantas.

“Ke hadapan, kita perlu memanfaatkan teknologi seperti AI, platform digital dan media kreatif untuk memperluas serta memperkenalkan seni kaligrafi kepada generasi muda,” katanya. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here