Home Hiburan AINA ABDUL SUNTIK ‘NAFAS BARU’ DALAM SADIS

AINA ABDUL SUNTIK ‘NAFAS BARU’ DALAM SADIS

17
0

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Aina Abdul mendedahkan dia sama sekali tidak menjangka penggunaan perkataan ‘takda’ dalam lirik lagu terbaharunya berjudul Sadis bakal menjadi perdebatan antara netizen.

Memetik laporan Harian Metro, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkata pemilihan perkataan itu dibuat memandangkan ia sangat dekat dengan pertuturan masyarakat dalam kehidupan seharian.

“Alhamdulillah orang masih tunjuk minat dalam apa saya buat walaupun berbentuk kecaman. Saya tak jangka ia akan menjadi kecaman pun, saya ingat benda itu orang akan rasa pembaharuan daripada saya sahaja.

“Saya tak rasa pun benda itu akan jadi negatif. Tapi sekarang benda itu teruk juga, tapi saya gembira sebab ramai yang pertahankan saya sebab mereka tahu apa situasi saya menulis lagu itu. Saya hanya petik apa yang kita selalu guna dalam kehidupan harian,” ketika ditemui semasa majlis pelancaran single terbaharu Sadis dan Berjauh-an, semalam.

Menurut pelantun lagu Sepi itu, penggunaan perkataan ‘takda’ disifatkan sebagai satu elemen pembaharuan selain mahu memastikan rima melodi lagu berkenaan kedengaran lebih lancar sewaktu dinyanyikan. 

“Kedua, saya mementingkan rima ataupun bagaimana rima melodi itu. Kalau saya pakai ‘tiada’, takut ia jadi kekok sikit untuk saya menyanyi.

“Saya nak benda yang senang dan lancar untuk saya menyanyi. Saya suka dengan perkataan takda. Mula-mula memang berbolak-balik, ada sahaja yang tidak puas hati,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Aina menganggap segala teguran dan komen yang dilemparkan netizen sebagai bukti bahawa pendengar muzik tanah air kini semakin peka terhadap setiap karya yang berada di pasaran.

Aina turut berharap masyarakat bersikap lebih terbuka memandangkan penulisan lirik lagu tidak sewajarnya terikat dengan bahasa formal semata-mata.

“Saya sentiasa akan lihat daripada sudut positif. Bagi saya pendengar saya makin teliti dan ambil tahu dengan lagu-lagu yang dikeluarkan. Saya rasa Allah hadirkan sesuatu itu sentiasa ada hikmahnya.

“Benda itu memang akan berlaku. Ia bagus sebab netizen makin peka tapi kita kena kawal dengan kepekaan itu dan lebih terbuka. (Kita) kena terima yang bahasa ini indah. Bahasa ini bukan hanya ikut kamus sahaja,” katanya.

Terdahulu, single terbaharu Sadis sering diperkatakan di platform media sosial selepas segelintir netizen mula mempertikaikan penggunaan perkataan ‘takda’ berbanding ‘tiada’ yang disifatkan seolah-olah merosakkan keindahan Bahasa Melayu. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here