KUALA LUMPUR: Perayaan Aidiladha yang sering menjadi simbolik pengorbanan turut dilihat penyanyi Nourul Depp sebagai tunjang kehidupan yang membentuk ketabahan jiwa, mengukuhkan rasa tanggungjawab serta mematangkan kekuatan diri dalam menempuh setiap liku perjalanan hidup.
Memetik laporan Berita Harian, bagi penyanyi berusia 49 tahun itu, setiap perjalanan hidup menuntut pengorbanan, sama ada terhadap keluarga, kerjaya mahupun impian yang ingin dicapai.
Nourul atau nama sebenarnya, Noorulhuda Abdul Wahab berkata, pengorbanan bukan sekadar melepaskan sesuatu yang disayangi, sebaliknya ia juga proses mematangkan diri.
“Dalam hidup ini, kalau semua perkara yang kita buat hanya fikir tentang diri sendiri tanpa ada pengorbanan untuk kebaikan orang lain atau diri sendiri, itu bukan kehidupan namanya.
“Kita memang kena ada pengorbanan kerana apabila berkorban, ia melahirkan rasa penghargaan dan tanggungjawab,” katanya kepada BH Online.
Menurut Nourul, pengorbanan itu semakin dirasai ketika beliau kini sibuk membuat persiapan menjayakan konsert solo For You Nourul yang dijadual berlangsung pada 30 Mei ini.
Beliau mengakui, tumpuan terhadap konsert tersebut memerlukan dirinya mengorbankan masa bersama keluarga, khususnya anak-anak.
“Sepanjang proses menyiapkan konsert solo ini, saya banyak berkorban masa dengan anak-anak,” katanya.
Bagaimanapun, Nourul berkata suaminya, Eric Daniel Depp memahami serta memberi sokongan penuh terhadap impian yang ingin dicapai.
Katanya, meskipun terpaksa berjauhan sementara dengan keluarga, mereka telah merancang untuk meluangkan masa bersama keluarga suami di Perancis selepas konsert tersebut selesai.
“Selepas konsert nanti, kami akan pulang ke Perancis dua kali setahun kerana keluarga Eric berada di sana. Sekurang-kurangnya kami masih ada masa bersama mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Nourul menegaskan pengorbanan juga hadir dalam bentuk lain, termasuk mengalah demi menjaga keharmonian hidup.
“Ada yang tanya sama ada saya banyak berkorban dalam hidup ini. Saya rasa satu lagi bentuk pengorbanan ialah mengalah.
“Kita mengalah demi sesuatu yang boleh melindungi ketenangan dan keamanan hidup. Kalau perlu, kita memang harus mengalah dan berkorban,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






