SILVERSTONE: Nicolas Hamilton iaitu adik kepada bekas juara dunia Formula Satu, Lewis Hamilton berdepan detik cemas apabila keretanya terbakar ketika beraksi di Litar Silverstone, hujung minggu lalu.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Hamilton, 33, yang menghidap serebrum palsi, menyertai perlumbaan pembukaan pusingan kedua terakhir Kejuaraan Kereta Touring British (BTCC) pada Ahad sebelum insiden mengerikan itu berlaku.
Memasuki pusingan ke-18, pelumba pasukan Un-Limited Motorsport itu terpaksa memberhentikan kereta Cupra Leon dipandunya selepas bahagian bawah kenderaan terbakar.
Beberapa saat kemudian, asap tebal menyelubungi bonet sebelum api marak menjilat keseluruhan jentera.
Situasi bertambah mencemaskan memandangkan keadaan fizikal Hamilton menyukarkannya keluar pantas dari kokpit, namun dia bernasib baik apabila berjaya menyelamatkan diri tanpa bantuan dan bebas daripada sebarang kecederaan.
“Sungguh luar biasa melihat gambar yang merakamkan detik mengecewakan serta menakutkan buat saya, keluarga dan rakan-rakan pagi Ahad lalu di Silverstone.
“Saya secara mengejut kekal tenang sepanjang insiden itu, cuba mengurangkan kerosakan kereta sambil memastikan keselamatan diri. Saya bangga dengan cara saya menanganinya,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Hari yang sama turut menjadi episod suram buat keluarga Hamilton apabila Lewis hanya menamatkan saingan di tempat kelapan pada Grand Prix Azerbaijan, selain menerima kritikan kerana didakwa tidak menghormati rakan sepasukannya di Ferrari, Charles Leclerc. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






