BILBAO: Adam Yates dari Pasukan UAE memenangi peringkat pembukaan Tour de France (TdF) 2023 di Bilbao mengatasi saudara kembarnya, Simon Yates dari Jayco.
Pasangan kembar Britain itu berjaya melepaskan diri pada pendakian terakhir dan tidak lama kemudian menjadi jelas bahawa pelumba lain yang berada di belakang tidak berkeinginan untuk mengejar menuju beberapa kilometer terakhir.
Juara dua kali Tadej Pogacar juga dari pasukan UAE menduduki tempat ketiga ketinggalan 12 saat (s) selepas menghabiskan perlumbaan pembukaan sejauh 182 kilometer (km) yang berakhir di bandar wilayah Basque.
Pogacar mengangkat tangan tanda kemenangan ketika melepasi garisan penamat, selepas melihat rakan sepasukannya yang baharu memperoleh kemenangan.
“Seolah-olah saya memenangi perlumbaan itu sendiri atau sebenarnya lebih baik. Ia adalah impian untuk melihat pasukan berkembang seperti ini,” kata Pogacar, juara 2021 dan 2022.
Adam meraih kedua-dua jersi, kuning selaku pendahulu keseluruhan dan hijau raja pecut.
Ia bukan yang kali pertama kedudukan 1-2 dikuasai oleh pasangan adik-beradik Andy Schleck pernah menewaskan abangnya, Frank di peringkat ke-18 TdF 2011.
Adam yang hanya lahir beberapa minit selepas Simon, mengetuai kumpulan elit mendaki bukit Sondika melalui laluan sempit yang dibentuk oleh peminat yang bersemangat mengibarkan bendera sebelum membenarkan abangnya melakukan kerja (berada di hadapan) hampir sepanjang perlumbaan menuju garisan penamat.
“Dia bertanya kepada saya pagi sebelum perlumbaan apa rancangan kami tetapi saya tidak dapat memberitahunya,” kata Adam.
Simon, yang dianggap lebih baik daripada kembar seirasnya, berada di tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan selepas ketinggalan 8s tetapi dia kelihatan kepenatan selepas di hujung saingan.
“Saya mempunyai hubungan yang hebat dengan adik saya. Saya sangat gembira untuknya. Saya akan mengekorinya dalam beberapa hari selepas ini,” kata Simon.
Sumber HMetro Online
Sumber AFP
Imedikel TV






