KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengintai peluang untuk melangkah ke final PETRONAS Terbuka Malaysia sebagai hadiah kepada peminat badminton tempatan.
Memetik laporan menerusi berita harian Aaron, 26, berkata beraksi di laman sendiri, ia meningkatkan lagi motivasi mereka untuk menampilkan persembahan ‘kelas A’ sekali gus memperbaiki pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan itu.
Pencapaian terbaik pasangan nombor empat dunia itu sebelum ini adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2022 manakala mereka terkandas di pusingan kedua pada edisi tahun lalu.
“Kami tidak berasa tertekan sebaliknya lebih bersemangat untuk bermain di hadapan penyokong sendiri.
“Diharapkan kami boleh dapat keputusan lebih baik berbanding sebelum ini, sekurang-kurangnya mara ke final, menang atau tidak perkara kedua,” kata Aaron yang muncul juara dunia bersama Wooi Yik pada 2022.
Aaron-Wooi Yik yang tampil sebagai pilihan ketiga di Terbuka Malaysia kali ini akan membuka tirai saingan menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di pusingan pertama.
Dalam pada itu, Aaron turut berharap dia dan Wooi Yik mampu memenangi dua atau tiga gelaran juara sebelum Julai bagi meningkatkan motivasi mereka sebelum Sukan Olimpik Paris 2024.
Aaron-Wooi Yik berjaya menamatkan penantian gelaran juara dalam Jelajah Dunia selepas menjuarai Terbuka Denmark, tahun lalu.
“Selepas memenangi Terbuka Denmark, kami lebih bersemangat untuk terus menampilkan persembahan terbaik dan memenangi lebih banyak kejuaraan musim ini.
“Ia sesuatu yang bagus jika kami dapat memenangi satu atau dua gelaran sebelum Sukan Olimpik. Namun, fokus utama tetap terarah kepada Sukan Olimpik,” kata Aaron. -BH ONLINE –
Imedikel TV






