Home Hiburan A AIDA ANGGAP PEMBEDAHAN LUTUT KESILAPAN TERBESAR

A AIDA ANGGAP PEMBEDAHAN LUTUT KESILAPAN TERBESAR

75
0

KUALA LUMPUR: Penerbit terkenal, Datuk A Aida menyifatkan keputusan menjalani pembedahan lutut pada September lalu sebagai kesilapan terbesar dalam hidupnya.

Memetik laporan Berita Harian, A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 55, berkata pembedahan itu hampir meragut nyawanya selain menyebabkan pergerakannya kini terbatas.

Akibatnya, dia tidak lagi mampu melakukan beberapa aktiviti kegemarannya seperti mendaki dan menunggang kuda.

“Perkara yang paling saya kesalkan dalam hidup adalah melakukan pembedahan lutut.

“Pesanan saya kepada orang ramai, jangan buat pembedahan lutut melainkan jika lutut benar-benar sakit. Jangan sesekali sentuh kalau tidak sakit kerana lutut ibarat tayar kereta.

“Kalau tayar kereta bocor, sudah tentu tidak boleh berjalan dengan baik. Itulah yang berlaku pada saya sekarang,” katanya ketika ditemui pada Rakaman Melodi Raya 2026 di Saloma Theatre Hall, di sini, baru-baru ini.

Menurut A Aida, dia membuat keputusan menjalani pembedahan tersebut selepas lututnya sering bengkak setiap kali melakukan aktiviti lasak.

Katanya, setiap kali selepas menunggang kuda atau mendaki, lututnya akan membengkak.

Tambahan pula, dia berhasrat menunaikan ibadah haji tahun ini dan mengambil keputusan menjalani pembedahan selepas diyakinkan doktor bahawa tempoh pemulihan tidak lama.

“Untuk berjalan biasa, alhamdulillah masih okey. Tetapi jika naik turun tangga, memang masih terasa sakit.

“Maknanya keadaan saya selepas pembedahan itu sebenarnya bertambah teruk, bukannya bertambah baik,” katanya.

A Aida berkata sebelum ini dia aktif ke gimnasium serta tidak mempunyai masalah kesihatan seperti kolesterol atau tekanan darah tinggi.

Namun selepas pembedahan itu, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kini perlu mengambil beberapa jenis ubat termasuk ubat cair darah serta ubat kolesterol.

“Sebelum ini saya tidak ada masalah kesihatan dan tidak mengambil sebarang ubat.

“Tetapi selepas pembedahan itu, saya perlu makan ubat setiap hari,” katanya.

Menurut A Aida, sehingga hari ini dia masih berasa menyesal dengan keputusan menjalani pembedahan tersebut.

Katanya, dia kini banyak membaca serta mencari maklumat di internet bagi mencari cara untuk memulihkan kembali keadaan lututnya.

“Sampai hari ini setiap kali bangun pagi saya akan rasa sangat menyesal dengan keputusan yang saya buat.

“Apa sahaja yang orang kata boleh membantu baiki lutut, saya akan cuba.

“Keputusan yang saya buat sebenarnya memakan diri saya,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here