ZENICA, Bosnia-Herzegovina: Cristiano Ronaldo menyumbat dua gol ketika Portugal kendalian Roberto Martinez membelasah Bosnia-Herzegovina 5-0 pada aksi kelayakan Euro 2024 awal pagi tadi.
Portugal, yang mengesahkan tempat ke pusingan akhir di Jerman tahun depan selepas menang ke atas Slovakia minggu lalu, meneruskan persembahan cemerlang mereka di bawah bimbingan jurulatih dari Sepanyol itu dengan kemenangan kelapan dalam lapan perlawanan sejak ketibaannya.
Ronaldo menjaringkan gol ke-126 dan 127 bersama Portugal, sekali gus melebarkan catatan rekod sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman di peringkat antarabangsa.
Pemain Manchester United, Bruno Fernandes menambah gol ketiga sebelum dua pemain Barcelona, Joao Cancelo dan Joao Felix melengkapkan jaringan, semuanya pada babak pertama.
Bosnia, diketuai penyerang veteran Edin Dzeko, terdampar di tangga kelima dan sudah tersingkir daripada persaingan selepas Slovakia menewaskan Luxembourg 1-0.
Bosnia masih berbaki dua perlawanan dan tujuh mata di belakang pasukan tangga kedua Slovakia dalam Kumpulan J, dengan Portugal jauh di depan.
Pasukan Martinez sudah menjaringkan 32 gol dan hanya dibolosi dua kali, meraih semua 24 mata maksimum setakat ini.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Penyerang Al-Nassr, Ronaldo, 38, membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti dan meledak masuk gol keduanya dengan penyudah mantap namun dikeluarkan oleh Martinez selepas 65 minit ketika dia masih mencari catatan hatrik.
Bekas penyerang Real Madrid itu juga berdepan penceroboh padang sejurus sebelum rehat namun pengawal berjaya menghalangnya.
Fernandes dan Cancelo menyempurnakan jaringan dengan kekuatan dan ketepatan mengagumkan ketika benteng pertahanan tuan rumah bocor manakala Felix merembat masuk gol kelima. – AFP-AGENSI-BH ONLINE-
Imedikel TV






