Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Atlet Lelaki Terbaik SUKMA Selangor 2026 penembak Pahang, Cheah Zen Hong yang merangkul sembilan emas dan satu perak, menerima durian runtuh keseluruhan berjumlah RM48,000.
Dia yang memecahkan dua rekod kejohanan acara 10m Air Pistol dan 25m Sport Pistol menerima insentif kejayaan atlet Pahang sebanyak RM43,000 diikuti RM5,000 sebagai atlet lelaki terbaik SUKMA Selangor.
Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP) Mahathir Abdul Raffar, berkata insentif sebanyak RM43,000 selepas Zen Hong meraih lapan emas, masing-masing empat emas acara individu dan berpasukan.
“Satu lagi pingat emas pula dalam acara duo, satu perak menerusi acara individu serta kejayaan memecah rekod kejohanan.
“Bagi acara individu emas, Zen Hong menerima insentif keseluruhan berjumlah RM24,000 iaitu RM6,000 bagi satu emas manakala empat emas acara berpasukan berjumlah RM8,000 iaitu RM2,000 setiap emas.
“Pingat perak pula RM3,000 manakala RM2,000 selepas memecah rekod kejohanan yang keseluruhannya berjumlah RM43,000,” katanya, di sini semalam.
Mahathir berkata, kejayaan Zen Hong yang juga penampilan terakhir dalam temasya sukan itu diharap memberi inspirasi terbaik kepada atlet muda yang bakal beraksi di Sukma 2028.
Tambahnya lagi, dia yakin pencapaian luar biasa Zen Hong pada SUKMA kali ini memberi suntikan semangat kepada semua penembak Pahang untuk mengekalkan pencapaian pada Sukma Selangor.
Berdasarkan rekod, pencapaian sembilan emas itu mengatasi rekod peribadi Zen Hong sendiri kerana di SUKMA Sarawak 2024, atlet kebangsaan itu meraih tujuh emas.
Pada masa sama, kejayaan itu juga membuktikan Pahang masih kuasa besar dalam sukan menembak apabila menguasai saingan Sukma Selangor 2026 dengan pungutan 14 pingat emas.
Pencapaian 14 emas di Selangor bukan sekadar melepasi sasaran, malah mengukuhkan reputasi negeri itu sebagai antara kuasa utama sukan menembak negara.
IMedikel TV






