PETALING JAYA: Pelakon Nadia Brian menafikan hantaran mengenai ‘peluang kedua’ yang dimuat naik di akaun Threads baru-baru ini ditujukan kepada bekas teman lelakinya, Nedim Nazri.
Memetik laporan Berita Harian, Nadia berkata, hantaran itu dibuat secara umum sebagai peringatan kepada dirinya sendiri untuk membuka ruang kepada peluang baharu dalam kehidupan, termasuk soal hubungan dan cinta.
“Sebenarnya, hantaran itu dibuat secara umum saja dan ditujukan untuk diri sendiri. Dalam hidup ini, kita semua layak diberikan peluang kedua. Cuma, isu itu tidak ditujukan kepada dia.
“Kami tidak ada apa-apa hubungan, tetapi kami baik-baik saja. Jujur, benda ini tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan supertele Bisikkan Pontianak, di sini, baru-baru ini.
Nadia berkata, dia juga perlu memberi peluang kepada dirinya sendiri untuk menerima cinta baharu selepas melalui pelbagai pengalaman dalam soal hubungan.
Katanya, dia tidak pernah menutup pintu hati untuk kembali menjalin hubungan serius, namun menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Allah.
“Saya sendiri patut memberi peluang kepada diri untuk menerima hubungan atau cinta baharu.
“Orang boleh tafsir apa saja dan kita tidak boleh hentikan apa yang mereka fikir. Tetapi seperti saya katakan, status itu bukan mengenai sesiapa, tetapi mengenai diri saya sendiri,” katanya.
Mengakui ada ketika dia tertanya-tanya sama ada dirinya masih bersedia untuk bercinta, Nadia berkata, dia mahu memberi ruang kepada diri sendiri untuk kembali membuka hati.
“Ada masa saya rasa tidak yakin untuk kembali bercinta. Tetapi bila difikirkan kembali, saya kena beri peluang untuk diri sendiri.
“Saya pun bukannya muda lagi. Sudah tentu saya mahu mencari pasangan dan berumah tangga, tetapi jodoh dan ajal semuanya di tangan Allah,” katanya.
Bagaimanapun, Nadia menegaskan dia masih solo dan tidak mempunyai hubungan serius dengan sesiapa ketika ini, namun mengakui mempunyai perancangan untuk menamatkan zaman bujang.
“Saya masih lagi solo, tetapi ada perancangan untuk tamatkan zaman solo. Cuma saya tidak tahu bila atau dengan siapa.
“Tetapi perancangan itu sentiasa ada daripada dulu sampai sekarang. Buat masa ini, setakat kawan-kawan adalah,” katanya.
Dalam pada itu, Nadia tidak mengambil serius tindakan netizen yang gemar memadankannya dengan individu tertentu, sebaliknya menganggapnya sebagai gurauan di media sosial.
“Saya tidak ambil serius pun. Threads ini kita nak happy-happy, jangan ambil terlalu serius. Kadang-kadang bila baca komen, saya hanya tergelak sendiri. Macam-macam komen yang kelakar,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






