Home Buletin Semasa SELEPAS TIGA DEKAD, ANAK PENYU KEMBALI MUNCUL DI PANTAI KELANTAN

SELEPAS TIGA DEKAD, ANAK PENYU KEMBALI MUNCUL DI PANTAI KELANTAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Selepas hampir tiga dekad tidak direkodkan, kemunculan semula anak penyu di pantai Kelantan mencetuskan kegembiraan dan disifatkan sebagai petanda positif terhadap kelestarian ekosistem marin negeri ini.

Kejadian bersejarah itu berlaku apabila orang awam menemui beberapa ekor anak penyu sebelum segera memaklumkannya kepada MyKomuniti Perikanan (MyKP) setempat, pada Ahad.

Susulan laporan itu, pihak MyKP bertindak pantas memanjangkan maklumat berkenaan kepada Jabatan Perikanan Negeri Kelantan untuk tindakan serta pemantauan lanjut.

Pengarah Perikanan Negeri Kelantan, Ismail Ibrahim berkata, anak penyu yang ditemui itu dikenal pasti sebagai spesies penyu agar.

“Sebanyak 156 ekor anak penyu berjaya ditemukan dan kemudiannya dilepaskan semula ke laut sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan.

“Anak penyu yang ditemui ini adalah spesies agar. Sebanyak 156 ekor anak penyu ini kita lepaskan semula ke laut bagi tujuan pemuliharaan,” katanya seperti dipetik menerusi laman rasmi Pejabat Perikanan Negeri Kelantan.

Beliau berkata, kemunculan semula anak-anak penyu itu amat bermakna memandangkan Jabatan Perikanan sudah lama tidak merekodkan pendaratan penyu di perairan negeri berkenaan.

“Kita juga sudah lama tidak merekodkan pendaratan penyu di perairan negeri Kelantan. Kemunculan semula anak-anak penyu ini satu petanda yang sangat positif untuk ekosistem laut kita,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here