Home Hiburan ZIANA ZAIN TERIMA GELARAN DATUK, ANUAR ZAIN TITIP DOA BUAT KAKAK

ZIANA ZAIN TERIMA GELARAN DATUK, ANUAR ZAIN TITIP DOA BUAT KAKAK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Penyanyi terkenal, Ziana Zain, melakar satu lagi detik bermakna dalam perjalanan seninya apabila menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk  sempena sambutan Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, yang ke-77.

Ziana menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan dan kenangan yang cukup bermakna buat dirinya.

Menerusi hantaran di Instagram, Ziana merakamkan penghargaan kepada Tun Mohd Ali atas penganugerahan berkenaan yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

“Terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, atas penganugerahan Darjah Pangkuan Seri Melaka bersempena sambutan Hari Jadi beliau yang ke-77.

“Satu penghormatan dan kenangan yang amat bermakna buat saya,” tulisnya.

Lebih istimewa, Ziana turut ditemani adiknya, penyanyi Anuar Zain, pada majlis penuh bersejarah itu.

Ziana menzahirkan penghargaan kepada Anuar kerana sentiasa berada di sisinya dan berkongsi momen istimewa berkenaan.

“Buat adik saya, Anuar Zain, terima kasih kerana sentiasa ada bersama dan berkongsi momen yang begitu bersejarah dan bermakna buat diri saya,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar turut menitipkan doa dan kata-kata penuh kasih buat kakaknya menerusi hantaran Instagram.

Anuar mendoakan agar Ziana terus dikurniakan kesihatan yang baik, rezeki berterusan, kebahagiaan serta kekuatan untuk meneruskan perjalanan seni dan menjadi inspirasi kepada ramai.

“Hari ini, saya meraikan kakak saya bukan sekadar sebagai Yang Berbahagia Datuk Ziana Zain, tetapi sebagai kakak tercinta, keluarga saya dan insan yang sentiasa saya banggakan sebagai kakak saya.

“Kakak adalah insan yang sangat berharga dalam hidup saya. Saya menyayangi kakak dan saya sangat bangga dengan kakak,” tulisnya.

Pengiktirafan berkenaan menambah satu lagi kenangan manis buat Ziana yang sememangnya cukup sinonim dengan industri muzik tanah air, selain memperlihatkan hubungan akrab dua beradik itu yang terus menjadi perhatian peminat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here