MANCHESTER: Manchester United melengkapkan pembelian pemain tengah Brighton, Carlos Baleba dengan nilai perpindahan boleh mencecah 70 juta pound (RM386.10 juta), sekali gus meneruskan usaha merombak jentera tengah kelab itu.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Baleba, 22, menandatangani kontrak selama lima tahun di Old Trafford dengan pilihan lanjutan 12 bulan selepas mencapai persetujuan peribadi dan lulus pemeriksaan kesihatan.
United membayar 65 juta pound (RM358.52 juta) secara awal kepada Brighton, dengan tambahan sehingga 5 juta pound (RM27.58 juta) dalam bentuk bonus berdasarkan prestasi.
Brighton turut memasukkan klausa jualan semula dalam perjanjian berkenaan.
Pemain antarabangsa Cameroon itu ketika ini diketepikan akibat kecederaan buku lali namun menjadi pembelian ketiga United di posisi tengah pada jendela perpindahan musim panas ini selepas Andrey Santos dan Youri Tielemans.
Secara keseluruhan, United membelanjakan 85 juta pound (RM468.83 juta) bagi mendapatkan Santos dan Tielemans sebelum melengkapkan pembelian Baleba.
Baleba yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak lebih setahun lalu mengakui tidak sabar untuk menyarung jersi kelab yang menjadi impiannya.
“Ini satu perasaan yang luar biasa apabila menyertai kelab impian saya. Beraksi di Old Trafford sentiasa istimewa, tetapi peluang melakukannya sebagai pemain Manchester United adalah satu penghormatan besar.
“Saya tidak sabar untuk bekerja dengan Michael Carrick. Pengalaman dan pengetahuannya mengenai permainan menjadikannya jurulatih terbaik untuk membantu saya mencapai tahap tertinggi.
“Impian semua orang di kelab ini sangat jelas. Masa depan amat mengujakan dan saya berazam memainkan peranan untuk membantu kami mencapai kejayaan yang mampu dicapai bersama,” katanya.
Pengarah Bola Sepak United, Jason Wilcox, pula menyifatkan Baleba sebagai pemain tengah bertaraf tinggi yang masih mempunyai ruang besar untuk berkembang.
“Carlos ialah pemain tengah bertaraf elit dengan potensi besar untuk terus berkembang. Dia membawa gabungan kualiti unik yang akan melengkapkan skuad kami.
“Kami gembira dapat terus memperkuatkan jentera tengah dengan kehadiran seorang lagi pemain antarabangsa berpengalaman yang sudah membuktikan kemampuan beraksi di Liga Perdana.
“Keazaman Carlos untuk menyertai Manchester United serta keyakinannya bahawa kami mampu mencapai cita-cita bersama menjadikannya pemain yang tepat ketika kami terus membina pasukan dinamik dan menghiburkan, yang bersedia bersaing dalam pelbagai kejohanan,” katanya.
Kehadiran Baleba dijangka melegakan penyokong United yang kecewa dengan permulaan musim hambar selepas pasukan itu tumbang 0-2 kepada Hull City pada Sabtu lalu. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






