Home Hiburan A AIDA MAHU AZEVA BINA NAMA SEBELUM MENCARI CINTA

A AIDA MAHU AZEVA BINA NAMA SEBELUM MENCARI CINTA

KUALA LUMPUR: Belum sempat mengukuhkan nama dalam industri seni, anak kedua penerbit drama, Datuk A Aida, Azeva Natassha, sudah menjadi perhatian ramai, namun ibunya mahu dia melupakan dulu soal cinta dan memberi fokus sepenuhnya kepada kerjaya.

Memetik laporan Berita Harian, A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 56, berkata Azeva yang baru berusia 25 tahun perlu memanfaatkan peluang yang hadir ketika namanya mula mendapat perhatian ramai bagi membina kerjaya dan mencipta kejayaan dalam industri hiburan.

Katanya, mencipta nama dalam dunia seni bukan sesuatu yang mudah, justeru Azeva perlu menggunakan sebaik-baiknya peluang yang ada sebelum memikirkan soal percintaan.

“Bagi saya, apa yang saya buat sebagai seorang ibu itu betul. Bukanlah menyekat sebab mencipta nama dalam industri ini bukan senang.

“Jadi, rebut peluang yang ada ini untuk buat duit, bina kerjaya dan semuanya. Nanti kalau sudah betul-betul berjaya, sampai masanya bolehlah fikir soal cinta. Tapi buat masa sekarang, saya mahu dia fokus kepada kerjaya,” katanya kepada BH Online. 

Ditanya mengenai tempoh yang dianggap sesuai untuk Azeva mula memberi tumpuan kepada soal jodoh, A Aida berkata, dia belum menetapkan bila masanya kerana anaknya itu baru sahaja memulakan kerjaya seni. 

“Dia baru nak mula kerjaya dan baru berumur 25 tahun. Tengoklah tiga, empat atau lima tahun lagi.

“Soal jodoh ini di tangan Allah, tetapi buat masa terdekat ini, tidak boleh. Sekarang ini dia sedang menjadi rebutan ramai orang. Sayang kalau tiba-tiba sibuk bercinta dan sebagainya,” katanya

Dalam pada itu, A Aida mengakui sebagai ibu, dia tetap mempunyai kriteria tersendiri mengenai calon pasangan untuk Azeva.

Katanya, lelaki yang bakal mendampingi anaknya perlu mempunyai kerjaya dan kemampuan untuk membina kehidupan bersama.

“Sudah tentu saya memilih sebagai seorang ibu. Bagi saya, yang penting orang itu kena ada kerjaya untuk menyara dan hidup bersama anak saya.

“Saya sudah beri segala kemewahan kepada dia sejak kecil. Apa yang dia perlukan, selama ini saya akan cuba berikan.

“Jadi, benda itu biarlah berkekalan. Kalau dia dapat suami, dia kena sama seperti apa yang dia dapat daripada saya. Biarlah orang nak cakap apa pun,” katanya.

A Aida turut mendedahkan dia menerima mesej daripada individu yang cuba mendekati Azeva, namun memilih untuk tidak melayan.

“Memang setiap hari akan ada orang hantar mesej nak cuba Azeva, tetapi saya tidak layan.

“Apa-apa pun, saya mahu ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua peminat yang menyokong Azeva. Teruskan menyokong Azeva,” katanya.

Azeva mula mendapat perhatian ramai menerusi program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), yang menampilkan dirinya sebagai artis di bawah pengurusan A Aida yang juga ibunya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here