Home Sukan SAVINHO JADI TARUHAN BAHARU TOTTENHAM

SAVINHO JADI TARUHAN BAHARU TOTTENHAM

LONDON: Tottenham Hotspur mengesahkan pembelian pemain sayap Manchester City, Savinho dengan nilai perpindahan 85 juta pound (RM468.83 juta).

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, pemain antarabangsa Brazil itu menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab London berkenaan.

Menariknya, Tottenham memilih menggunakan nama ‘Savio’ dalam pengumuman rasmi perpindahan itu, berbanding nama yang lebih dikenali peminat iaitu Savinho.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang nama penuhnya Savio Moreira de Oliveira, mengakui teruja untuk memulakan cabaran baharu bersama Spurs.

“Ia mengambil masa agak lama, tetapi saya sangat gembira berada di sini. Ini peluang yang hebat di sebuah kelab yang luar biasa bersama salah seorang pengendali terbaik dunia. 

“Sebaik sahaja saya bercakap dengan pengendali pasukan, saya tahu saya perlu datang ke sini. 

“Dia memberitahu mahu membantu saya mencapai tahap tertinggi dan saya percaya kami mampu melakukannya bersama sebagai satu pasukan,” katanya.

Pengendali Tottenham, Roberto De Zerbi yang sudah membelanjakan lebih 300 juta pound (RM1.65 bilion) pada jendela perpindahan musim panas ini, turut gembira dengan kehadiran pemain sayap berkenaan.

“Dia mempunyai keberanian untuk mencabar pertahanan lawan dan kemampuan mengubah permainan menerusi kreativiti. Kami sangat gembira memilikinya.

“Saya tidak sabar untuk bekerja dengannya, membantu perkembangannya dan melihat personalitinya terserlah dalam pasukan,” kata De Zerbi. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here