Home Sukan DUA BEREGU REMAJA LAYAK KE SEPARUH AKHIR

DUA BEREGU REMAJA LAYAK KE SEPARUH AKHIR

KUALA LUMPUR: Skuad badminton remaja negara memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong pada penampilan di Kejohanan Remaja Dunia 2023 di Amerika Syarikat.

Ia selepas dua wakil negara – beregu lelaki, Bryan Goonting-Aaron Tai dan beregu campuran, Low Han Chen-Chong Jie Yu – berjaya mengesahkan kemaraan ke separuh akhir di Spokane, Washington awal pagi tadi.

Memetik laporan menerusi berita harian,Kemaraan itu menyaksikan kedua-dua pasangan negara sudah menjamin sekurang-kurangnya pingat gangsa buat mereka pada edisi kali ini.

Terdahulu, pada aksi suku akhir beregu lelaki menyaksikan Bryan-Aaron yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi pasangan Jepun, Kosuke Kakuta-Kaito Sugawara 12-21, 21-17, 21-16.

Mereka akan menentang beregu Taiwan, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng bagi perebutan tiket ke final, awal pagi esok.

Beregu lelaki Bryan Goonting-Aaron Tai mengibar cabaran negara pada Kejohanan Remaja Dunia di Spokane, AS. – Foto Persatuan Badminton Malaysia

Han Chen-Jie Yu yang tampil sebagai pilihan keempat beregu campuran turut cemerlang untuk memastikan kedudukan podium apabila menundukkan beregu Indonesia, Adrian Pratama-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu 21-18, 21-16.

Mereka bagaimanapun berdepan ujian getir untuk memburu slot ke final apabila dijadual berdepan pilihan utama dari China, Zhu Yi Jun-Huang Ke Xin.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi dua lagi wakil negara iaitu perseorangan lelaki, Muhammad Faiq Masawi dan beregu perempuan, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang terkandas di suku akhir.

Faiq terpaksa akur apabila tewas di tangan pilihan ketiga dari China, Hu Zhe An 10-21, 21-16, 2-21 manakala Xin Yee-Carmen tunduk kepada pasangan Jepun, Maya Taguchi-Aya Tamaki 13-21, 19-21.

Sebagai rekod, Malaysia gagal meraih sebarang pingat pada edisi 2022 di Santander, Sepanyol yang menyaksikan tiada seorang pun wakil negara mara ke suku akhir saingan individu.

Kali terakhir Malaysia menaiki podium adalah pada edisi 2018 di Markham, Kanada dengan Goh Jin Wei muncul juara perseorangan perempuan manakala Pearly Tan-Toh Ee Wei menjadi naib juara beregu perempuan.

-Berita harian online-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here