LAUSANNE: Maghribi, Portugal dan Sepanyol akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2030 tetapi perlawanan turut akan dilangsungkan di Uruguay, Argentina dan Paraguay ketika kejohanan terunggul bola sepak itu menyambut ulang tahun ke-100, umum FIFA awal pagi tadi.
Menurut FIFA dalam satu kenyataan, perlawanan di Amerika Selatan – setiap satu di Montevideo, Buenos Aires dan Asuncion – adalah sebahagian daripada keraian menyambut 100 tahun sejak Piala Dunia pertama di Uruguay.
Pengumuman itu mengakhiri saingan dua bidaan besar, satu diketuai Sepanyol dan Portugal manakala satu lagi membabitkan Argentina, Uruguay, Chile dan Paraguay.
“Dalam dunia yang terpisah, FIFA dan bola sepak bersatu,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.
“Majlis FIFA, yang mewakili seluruh dunia bola sepak, secara sebulat suara bersetuju untuk meraikan ulang tahun ke-100 Piala Dunia FIFA, dengan edisi sulungnya diadakan di Uruguay pada tahun 1930, dengan cara yang paling sesuai.”
Badan induk dunia itu berkata, tuan rumah bagaimanapun masih perlu diperakui oleh perhimpunan Kongres FIFA tahun depan.

Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Bagaimanapun, pengumuman itu bermakna jelas ia mempertandingkan format antara benua yang belum pernah berlaku sebelum ini, menjanjikan cabaran politik dan logistik yang rumit serta menimbulkan persoalan mengenai kesannya terhadap pertandingan sukan utama dunia.
Tindakan itu mendapat kritikan serta-merta daripada kumpulan pelobi berpengaruh Football Supporters Europe, yang menyifatkannya sebagai “penamat kepada Piala Dunia seperti yang anda tahu.”
Pada satu peringkat, Sepanyol dan Portugal memasukkan Ukraine dalam bidaan mereka, menyatakan mereka mahu menghantar “mesej perpaduan dan harapan” dan memberi penghormatan kepada “kecekalan dan daya tahan” sebuah negara yang diceroboh oleh Russia pada Februari 2022.
Maghribi, lima kali tidak berjaya dalam bidaan mereka untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu, menyertai mereka pada pertengahan Mac lalu. – AFP-AGENSI-Berita harian online-
Imedikel TV






