DAMMAM, Arab Saudi: Kelab baharu Jordan Henderson, Al-Ettifaq mengeluarkan permohonan maaf ‘nakal’ selepas bekas kapten Liverpool itu bergambar dengan rujukan Everton yang tidak disengajakan di jersi baharunya.
Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian, Kelab Arab Saudi itu memohon maaf di laman Instagram apabila meletakkan singkatan kelab itu E.F.C di belakang jersi Henderson kerana ia sama dengan singkatan musuh ketat tetangga Liverpool di Merseyside.
Henderson bersatu kembali dengan bekas rakan sepasukannya yang kini pengurus Al-Ettifaq, Steven Gerrard dalam perpindahan bernilai £12 juta (RM70 juta) ke kelab Liga Pro Saudi itu bulan lalu.
Dua bekas kapten The Reds itu menyertai bekas pemain Liverpool, Fabinho, Roberto Firmino dan Sadio Mane yang kini semuanya memperagakan aksi mereka di negara Teluk itu.

Bagi yang dekat dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pasti menghargai hantaran ‘nakal’ di media sosial oleh Al-Ettifaq ketika mereka menyatakan “sekurang-kurangnya (jersi itu) bukannya biru.”
Henderson memenangi trofi Liga Juara-Juara keenam Liverpool pada tahun 2019 dan kemudian menjulang trofi EPL pertama kelab itu dalam tempoh 30 tahun sebagai kapten.
Secara keseluruhan dia mengumpul lapan trofi sepanjang 12 tahun kariernya bersama The Reds, meraih 431 penampilan dalam EPL serta menyumbat 33 gol.
Dia berdepan musuh Merseyside, Everton sebanyak 24 kali dalam semua pertandingan, menang lapan, seri 12 dan kalah hanya tiga kali.
Henderson mengetuai Al-Ettifaq ketika persahabatan pramusim pada musim panas ini dan mengadakan perbincangan dengan bos England, Gareth Southgate bagaimana perpindahannya ke Timur Tengah boleh memberi kesan terhadap masa depannya bersama skuad Three Lions.
Southgate baru-baru ini mendedahkan adalah ‘bodoh’ jika beliau tidak memilih Henderson hanya kerana perpindahannya ke Arab Saudi. – AGENSI, BH Online –
Imedikel TV






