Oleh: Afrizam Arif, Wartawan IMedikel TV
KOTA BHARU- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Azmi Ishak memberi fokus terhadap bidang pendidikan dan pertanian sekiranya diberi menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos Sabtu ini.
Azmi atau dikenali sebagai Cikgu Azmi mahu proses pendidikan berjalan dengan lancar mengikut dasar pendidikan negara.
“Sebagai seorang bekas guru, saya akan memastikan semua sekolah dalam kawasan Melor dan Peringat mendapat kemudahan pendidikan yang baik terutama dari segi pembangunan fizikal sekolah, alat kelengkapan pelajaran serta kecukupan tenaga pendidik.
“Di kawasan saya ini pada satu ketika dahulu pernah diluluskan sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab dan kita sudah pun mempunyai tapak yang baik untuk menyiapkannya.
“Malangnya sampai ke hari ini institusi pengajian tersebut tidak dilaksanakan lagi, maka saya berjanji untuk membawa balik MRSM Ulul Albab itu supaya menjadi kenyataan,” katanya.
Dalam perkembangan lain iaitu pertanian, beliau berusaha menyelesaikan masalah prasarana dihadapi oleh penanam padi meliputi lebih daripada 50 peratus komposisi penduduk di kawasan Melor dan Peringat.

Calon BN DUN Melor, Azmi Ishak fokus terhadap bidang pendidikan dan pendidikan.
“Sekiranya dipilih, saya akan menyelesaikan persoalan prasarana penanam padi kepada pesawah di kawasan saya.
“Saya akan jadikan pertanian itu sebagai satu hasil pendapatan rakyat di kawasan Melor dan Peringat,” katanya.
Ditanya mengenai kempen minggu akhir, berdasarkan pengalaman lebih seminggu berkempen, beliau akui menerima sambutan baik diterima daripada rakyat terhadap kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) di Kelantan terutama di kawasan DUN Melor.
“Selepas penamaan calon saya lihat ada satu sambutan yang agak baik kepada gabungan BN-PH.
“Setakat ini saya lihat ada penerimaan positif daripada rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan terutama di kawasan Melor dan Peringat,” katanya.
Imedikel TV






