Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
BACHOK: Pasar Jelawat lama di sini terbakar petang semalam.
Menurut Pegawai Bomba Kanan II, Abdurrasid Abdulrahman, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berkaitan kes kebakaran itu pada jam 5.39 petang semalam.
“Dua jentera daripada Balai Bomba Bachok dan Tok Bali digerakkan ke tempat kejadian namun pihak Balai Bomba Tok Bali tiba lebih awal.

Bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian, api sudah dipadamkan oleh orang awam.”katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.
Abdurrasid berkata bagi pemilik kedai yang terbabit dalam kebakaran itu, sekiranya mereka mempunyai insurans, mereka boleh menuntut ganti rugi tersebut melalui laporan daripada pihaknya di sini.
Sementara itu, menurut seorang saksi kejadian Nur Izzati Mazlan, 27, dari Jelawat, di sini, berkata dia secara tidak sengaja menyekat lori tangki air ketika berlaku kebakaran itu.

“Saya dah hubungi balai bomba berdekatan tetapi dalam masa yang sama ada lori tangki air yang melalui kawasan kejadian, jadi saya pun terus menyekat lori tersebut.

“Dengan bantuan orang ramai, kami memadamkan api yang sedang marak dalam tempoh lebih kurang 10 minit.”katanya ketika dihubungi.
Imedikel TV






