PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) atau decanting dalam satu serbuan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM94,479.40.
Serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nama di Kampung Pantai, Tanjung Sepat, Selangor pada 5 Julai 2023, baru-baru ini.
Beberapa tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, kenderaan jenis lori tiga tan, alat timbang, hos penyambung serta beberapa dokumen perniagaan lain yang turut ditemui telah disita bagi siasatan lanjut.
Menurut kenyataan media, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bermula kira-kira jam 1.00 petang itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan selama satu bulan sebelum operasi dilakukan.
Tiada inidividu ditemui semasa serbuan dilakukan namun hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut pasukan serbuan telah menemukan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan LPG daripada tong LPG berkapasiti 14kg bersubsidi kepada tong LPG berkapasiti 50kg.
LPG 50kg itu seterusnya akan dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah berbanding harga sebenar mengikut pasaran.
Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli LPG 14kg bersubsidi terus daripada lori-lori penghantaran LPG di sekitar daerah Sepang dan Banting.
LPG bersubsidi tersebut kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit seterusnya akan dipindahkan ke tong LPG 50kg untuk kegunaan industri.
Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenalpasti rantaian pengedaran LPG terbabit.
KPDN memberi amaran keras terhadap mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00. – Sumber KPDN –
Imedikel TV






