Home Buletin Semasa POLIS KENAL PASTI LAGI AHLI SINDIKET DADAH, 13 DITAHAN

POLIS KENAL PASTI LAGI AHLI SINDIKET DADAH, 13 DITAHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Polis sedang mengenal pasti beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah yang turut membabitkan pegawai dan anggota tentera.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini seramai 13 individu ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, tujuh adalah pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), manakala enam lagi adalah orang awam.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain yang dipercayai mempunyai peranan masing-masing, termasuk ketua sindiket, koordinator dan ‘transporter’.

“Jadi sebahagian yang ditangkap ini adalah sebahagian daripada sindiket ini.

“Jadi ada beberapa lagi yang kita percaya adalah ahli sindiket itu dalam pemerhatian pihak polis, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Insurans Kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia Kepada Balu Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Mengulas mengenai penglibatan seorang juruterbang dalam kes berkenaan, Hussein berkata, individu terbabit dipercayai berperanan sebagai salah seorang koordinator yang turut menjalankan tugas sebagai penghantar dari Lembah Klang ke Sabah.

Katanya, siasatan turut mendapati sindiket berkenaan dipercayai menggunakan beberapa lokasi termasuk Labuan dan Tawau dalam kegiatan mereka, selain tidak menolak kemungkinan ke destinasi lain.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, polis mula mengumpul risikan berhubung kegiatan sindiket itu susulan tangkapan besar-besaran di Sabah pada Januari lalu yang membabitkan rampasan enam kontena dadah dari Pelabuhan Klang ke Teluk Sepanggar.

“Hasil siasatan membawa kepada maklumat mengenai penggunaan aset tentera bagi membawa dadah ke Sabah, sebelum maklumat lebih kukuh diperoleh pada Julai lalu dan kertas siasatan dibuka.

“Risikan serta pemantauan berterusan dilakukan sehingga berlaku insiden terbaharu di Subang, manakala beberapa perkara lain masih dalam siasatan,” katanya.

Mengulas kemungkinan sindiket menggunakan lapangan terbang lain sebagai laluan penyeludupan, Hussein berkata, pihaknya percaya kumpulan terbabit akan mengambil kesempatan terhadap ruang dan peluang yang ada.

Beliau berkata, sekiranya kawalan diperketatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sindiket berkemungkinan mencuba laluan alternatif termasuk lapangan terbang di Pulau Pinang dan Ipoh.

Sehubungan itu, langkah memperketatkan kawalan sedang dan akan dilaksanakan di semua lapangan terbang di negara ini bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan 13 individu termasuk tujuh anggota dan pegawai TUDM sudah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan 96.6 kilogram (kg) dadah jenis syabu (methamphetamine) bernilai RM4.83 juta dadah di Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here