Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berhampiran Jambatan Pulau Melaka, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang pada Rabu, penunggang motosikal berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Panji menghala ke Kota Jembal dipercayai hilang kawalan akibat keadaan jalan basah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisoner Mohd Azmir Damiri berkata, motosikal itu kemudian memasuki laluan sah Proton X70 yang dipandu lelaki berusia awal 40-an dari arah Kota Jembal menghala ke Panji.
Menurutnya, motosikal berkenaan bergesel pada bahagian hadapan sisi kanan Proton X70 sebelum penunggangnya terjatuh di atas jalan raya.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pemandu serta penumpang Proton X70 tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Muhammad Syarafuddin Ramlee di talian 09-7752315.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya dalam keadaan jalan basah, selain mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas yang berkuat kuasa.
IMedikel TV






