Home Buletin Semasa WIRA TIDAK DIDENDANG: HPUSM HORMATI PENDERMA ORGAN MENERUSI SIMBOLIK LAMPU HIJAU

WIRA TIDAK DIDENDANG: HPUSM HORMATI PENDERMA ORGAN MENERUSI SIMBOLIK LAMPU HIJAU

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Wira tidak didendang yang menyelamatkan nyawa insan lain terus dihargai apabila Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menyalakan lampu hijau di bangunan hospital sebagai simbol penghormatan kepada seorang penderma organ berusia 23 tahun yang menjalani proses pendermaan organ.

Dalam satu kenyataan hari ini, HPUSM memaklumkan pencahayaan lampu hijau itu menjadi tanda simbolik bahawa proses pembedahan pendermaan organ sedang dijalankan selain memperingati jasa penderma yang memberi peluang kehidupan baharu kepada pesakit lain.

Menurut kenyataan itu, pendermaan organ berkenaan melibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun yang menerima rawatan di HPUSM akibat kecederaan otak serius susulan kemalangan jalan raya.

Menurut kenyataan itu lagi, pengesahan kematian otak (brain death) telah dibuat oleh Pakar Anestesiologi dan Pakar Neurosurgeri mengikut protokol perubatan yang ditetapkan sebelum persetujuan penuh diperoleh daripada keluarga untuk meneruskan prosedur pendermaan organ.

“Proses pembedahan pendermaan organ dimulakan pada tengah malam ini selepas semua keperluan klinikal dan etika perubatan dipenuhi.

“Operasi klinikal dan penyelarasan pendermaan organ berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara pasukan pakar perubatan HPUSM, Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) serta Pusat Transplan Nasional (NTC),” menurutnya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Pusat Media dan Perhubungan Awam, Pejabat Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, hari ini.

HPUSM turut merakamkan ucapan takziah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga penderma atas keikhlasan serta keberanian mereka membuat keputusan yang amat bermakna.

“Pengorbanan ini  bakal memberikan harapan dan sinar kehidupan baharu kepada para pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ di seluruh negara.

“Pencahayaan lampu hijau di bangunan HPUSM merupakan inisiatif berterusan hospital dalam menyokong kempen kesedaran pendermaan organ kebangsaan serta memperingati jasa para penderma organ yang dianggap sebagai wira tidak didendang,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here