Home Buletin Semasa KPDN PULAU PINANG BONGKAR TAKTIK PROMOSI PEWARNA RAMBUT GUNA SIJIL HALAL SYARIKAT...

KPDN PULAU PINANG BONGKAR TAKTIK PROMOSI PEWARNA RAMBUT GUNA SIJIL HALAL SYARIKAT LAIN

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Guna sijil halal milik syarikat lain dan khidmat rakan pemasaran (affiliate) media sosial untuk mengaburi pengguna, taktik sindiket penjualan pewarna rambut terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah gudang penyimpanan di Kampung Selamat, di sini, petang semalam.

Serbuan itu membawa kepada rampasan kira-kira 27,000 botol pewarna rambut bernilai RM1.08 juta yang disyaki menggunakan logo Halal Malaysia tanpa kebenaran.

Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan mempromosikan produk terbabit menerusi beberapa platform e-dagang yang disyaki palsu bagi meyakinkan pengguna.

Beliau berkata, semakan pihaknya sijil halal yang digunakan dalam bahan promosi itu bukan milik syarikat berkenaan, sebaliknya milik syarikat lain.

“Modus operandi mereka ialah mengiklankan barangan melalui platform media sosial dan e-dagang dengan memaparkan sijil halal yang disyaki palsu.

“Mereka turut menggunakan khidmat affiliate yang berpengaruh untuk meyakinkan pengguna bahawa logo dan sijil halal yang dipaparkan adalah sah.

“Hasil semakan mendapati sijil halal dalam promosi itu sebenarnya milik syarikat lain, manakala produk terbabit tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah,” katanya pada sidang media di gudang penyimpanan berkenaan,semalam.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu dilakukan hasil aduan awam dan risikan selama tiga minggu oleh anggota penguat kuasa KPDN Pulau Pinang melalui Cawangan Seberang Perai Utara.

Katanya, dua individu berusia lingkungan 30-an iaitu seorang wanita warga tempatan dan seorang lelaki warga China yang juga pekerja syarikat ditahan bagi membantu siasatan.

“Produk ini dipercayai dibawa masuk dari China sebelum disimpan di gudang berkenaan untuk proses penghantaran kepada pelanggan yang membuat pembelian secara dalam talian,” katanya.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, sindiket itu dipercayai telah beroperasi kira-kira enam bulan dan menganggarkan hampir 600,000 unit produk telah terjual dengan harga sekitar RM40 seunit.

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati logo halal yang dipaparkan pada pembungkusan produk berkenaan tidak mempunyai nombor siri seperti yang terdapat pada produk yang mendapat pensijilan halal Malaysia.

“Penggunaan logo halal bukan sesuatu yang boleh dibuat sewenang-wenangnya. Mana-mana pihak yang ingin menggunakan logo halal Malaysia perlu mendapatkan perakuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang berkaitan,” katanya.

 Jegan turut menasihatkan pengguna supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan halal yang dipaparkan dalam iklan atau promosi oleh rakan pemasaran di media sosial, sebaliknya membuat semakan status pensijilan melalui portal rasmi JAKIM sebelum membeli sesuatu produk.

“KPDN akan terus memperhebat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan logo halal sehingga boleh menjejaskan keyakinan pengguna terhadap sistem pensijilan halal negara,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here