Oleh: Wartawan IMedikel TV
KUALA NERUS: Terengganu, Johor, Selangor dan Perak mengesahkan tempat ke separuh akhir kategori Terbuka Lelaki Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2026) selepas melepasi saingan suku akhir di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu pada Sabtu(14 November 2026).
Terengganu meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut pada hari kedua kejohanan. Mereka terlebih dahulu menewaskan ATM 31-7 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan PDRM pada suku akhir untuk mengesahkan tiket ke kelompok empat terbaik.
Skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan, Hafiizh Zainal itu bakal berdepan cabaran getir menentang Selangor dalam aksi separuh akhir.
Menurut Hafiizh, kemenangan Selangor ke atas Kelantan selaku juara bertahan pada peringkat kumpulan menjadi petunjuk jelas mengenai kekuatan lawan mereka.
“Untuk Selangor menewaskan Kelantan selaku penyandang juara memberi kekuatan moral untuk mereka dan mungkin memberi satu amaran awal buat kami semua. Namun kami tetap untuk berwaspada mengurangkan kesilapan komunikasi di dalam pasukan bagi perlawanan separuh akhir nanti,” ujar anak jati Terengganu ini.
Selangor mara selepas menewaskan Wilayah Persekutuan Putrajaya 15-0, manakala Johor menyingkirkan Sarawak 24-5. Perak turut mengesahkan slot separuh akhir hasil kemenangan 26-5 ke atas Kedah.
Sebanyak 39 perlawanan melibatkan semua kategori berjaya disempurnakan sepanjang hari kedua kejohanan, termasuk aksi suku akhir Terbuka Lelaki.
Bagi kategori Terbuka Wanita, empat pasukan terbaik daripada lima pasukan bertanding turut mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
National 7s 2026 yang berlangsung selama tiga hari akan melabuhkan tirainya menerusi aksi final yang dijadual berlangsung petang Ahad.
SENARAI PASUKAN MARA KE SEPARUH AKHIR:
SEPARUH AKHIR TERBUKA LELAKI
Selangor vs Terengganu
Perak vs Johor
SEPARUH AKHIR TERBUKA WANITA
Terengganu vs Melaka
PDRM vs Johor
SEPARUH AKHIR BAWAH 21 TAHUN LELAKI
Negeri Sembilan vs Selangor
W.P Kuala Lumpur vs Johor
SEPARUH AKHIR BAWAH 21 TAHUN WANITA
Johor vs Terengganu
Kedah vs Selangor
IMedikel TV






