Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pasukan legenda Ex Pahang FA bercadang untuk membawa bekas awang import Tok Gajah, Dickson Nwakaeme pada perlawanan persahabatan dengan Kelantan FA pada masa akan datang.
Ini dinyatakan oleh ketua pasukan Ex Pahang, Azamuddin Akil yang berpendapatan kehadiran ‘Orang Besi’ itu mampu memeriahkan lagi perlawanan selain dapat menarik kehadiran lebih ramai penonton untuk datang ke stadium.
Katanya, Dickson menyarung jersi skuad Tok Gajah dalam dua era berbeza, iaitu pada musim 2014–2015 dan kembali semula pada musim 2019–2020.
Pada musim sulungnya bersama Pahang di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan bergandingan dengan penyerang import, Matías Conti. Beliau berjaya membantu pasukan menjulang tiga trofi utama dalam satu musim iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Saya yakin peminat bola sepak Pahang masih mengingati pemain berkulit hitam dan berbadan sasa itu, kebolehan dimiliki menimbulkan kebimbangan pertahanan pasukan lawan setiap kali beraksi ditengah padang.
“Kemesraan dengan barisan pemain tempatan membuatkan kami selesa sepanjang berada bersama, saya berpendapat Dickson merupakan antara pemain import terbaik pernah Pahang miliki,” katanya, di sini.
Beliau menambah, sebelum bersama pasukan Pahang Dickson pernah bersama Kelantan FA, faktor berkenaan pasti dapat memeriahkan perlawanan dua pasukan pantai timur.
Azamuddin yang lebih mesra dengan panggilan Alex berkata demikian selepas beraksi pada perlawanan persahabatan antara Ex Pahang bertemu Ex Kelantan di Stadium Darulmakmur, baru-baru ini yang berkesudahan Ex Pahang menang 2-1.
Perlawanan kali kedua itu menyaksikan kehadiran lebih 16,000 penonton, pasukan Ex Pahang dibarisi Razman Roslan, Fauzi Rozlan, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra, R Surendran, Shahrizan Salleh dan Juzaili Samion serta pemain legenda skuad Tok Gajah, Azizul Kamaluddin.
Skuad Ex Kelantan membariskan Badhri Radzi atau lebih mesra dengan panggilan ‘Piya’, Nor Farhan Muhammad, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Shahrizan Ismail.
Kemenangan bermakna dihadapan penonton setia Tok Gajah membolehkan skuad kendalian Ahmad Shahruddin Rosdi meraih hadiah RM20,000 dan piala pusingan.
IMedikel






