Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI: Kos tambahan bagi penggunaan peluru berpandu Atmaca buatan Turkiye untuk kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melibatkan kerja integrasi serta sistem pelancar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan sebelum ini sudah membuat tempahan peluru berpandu berkenaan untuk kapal misi pesisir (LMS), sekali gus membolehkan sebahagian tempahan sedia ada digunakan bagi LCS.
Menurutnya, langkah itu diambil sebagai alternatif kepada penggunaan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dari Norway yang sebelum ini dirancang untuk LCS.
“Saya memang dah tempah Atmaca untuk LMS. Jadi sekarang saya hanya perlu ambil Atmaca itu dan letak di situ (LCS).
“Kos-kos integrasi dan pelancar (kos tambahan). Apabila Norway pulangkan balik duit kita, baru kita akan guna untuk bayar misil yang baharu.
“Peluru berpandu Atmaca yang ditempah bagi LMS dijangka siap pada 2028, jadi boleh ambil dan letak situ (LCS) sebahagiannya,”katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Panchor di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai keyakinan kerajaan mendapatkan semula bayaran daripada Norway, Mohamed Khaled berkata perkara itu berkemungkinan memerlukan tindakan undang-undang termasuk proses timbang tara atau mahkamah.
“Kalau katakanlah kita pergi timbang tara, banyak orang tak patuh pada timbang tara. Dia mungkin juga tak (patuh) dan kita kena pergi mahkamah. Dua tahun, tiga tahun, empat tahun, lima tahun, saya pun tak tahu,” katanya.
Pada Khamis lalu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata kerajaan memilih Turkiye sebagai negara pembekal alternatif, bagi menggantikan sistem NSM selepas menilai cadangan daripada beberapa negara termasuk Perancis dan Itali, berdasarkan aspek harga, tempoh penyerahan serta kos pendahuluan.
Beliau berkata rundingan lanjut akan diadakan dengan pihak Turkiye bagi memuktamadkan perolehan itu, termasuk memastikan kesesuaian dan integrasi sistem peluru berpandu berkenaan dengan LCS.
Terdahulu pada 19 Mei lepas, Kementerian Pertahanan mengeluarkan notis tuntutan terhadap syarikat pengeluar pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace AS, bagi mendapatkan pampasan kira-kira RM1 bilion susulan pembatalan permit eksport NSM.
Jumlah itu merangkumi kos langsung sebanyak EUR126 juta (RM583.47 juta) yang telah dibayar kerajaan serta tuntutan kerugian tidak langsung.
IMedikel TV






