Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JELI: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan sebuah Toyota Veloz dalam kemalangan di Jalan Belahat, Kampung Belahat, di sini, malam tadi.
Mangsa, Mohd Ikhwan Hakim Mohd Nasrudin, 21, ditemukan tersepit di dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Samri Ramli dalam kenyataan memaklumkan dalam kejadian kira-kira jam 10.17 malam itu, tiga wanita dewasa yang menaiki Toyota Veloz turut terlibat dan mengalami kecederaan ringan.

“Kemalangan itu mengakibatkan seorang lelaki yang menaiki Perodua Kancil disahkan meninggal dunia manakala tiga wanita dewasa yang menaiki Toyota Veloz mengalami kecederaan ringan.
“Mangsa lelaki berkenaan ditemukan tersepit di dalam kenderaan sebelum anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkannya.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu Samri berkata pihak menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba empat minit kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi berkenaan dikawal pada jam 10.26 malam dengan kekuatan sembilan anggota serta bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan Kembara Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
IMedikel TV






