KUALA LUMPUR: Fenomena lagu berbahasa dialek Kelantan, Adek Saye Abe Sore yang meraih lebih 28 juta tontonan di YouTube kini melangkah lebih jauh apabila berjaya menembusi pencalonan kategori Lagu Paling Boom Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-38.
Memetik laporan Berita Harian, bagi penyanyi, Eda Ezrin, pencalonan bersama rakan duetnya, Den Manjo itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap populariti lagu berkenaan, malah menjadi penghargaan bermakna terhadap perjalanan seni yang dilaluinya.
Eda atau nama sebenarnya, Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 31, berkata, dia tidak pernah meletakkan pencalonan dalam anugerah berprestij sebagai sasaran, justeru peluang itu hadir sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.
Katanya, kejayaan lagu ciptaan komposer tersohor, Eddie Hamid itu mendapat tempat dalam kalangan pendengar di seluruh negara, malah turut menembusi pasaran antarabangsa, menjadi suntikan semangat untuk terus berkarya.
“Alhamdulillah, saya sangat terharu dan bersyukur. Bagi saya, pencalonan ini satu penghargaan besar yang membuktikan perjalanan seni saya masih mendapat tempat di hati peminat.
“Sejujurnya, ia di luar jangkaan. Saya tidak pernah terlalu mengharapkan pengiktirafan, tetapi percaya setiap usaha dan perjalanan pasti ada rezekinya tersendiri.
“Secara tidak langsung, pencalonan ini memberi semangat baharu untuk saya terus berkarya dan membuktikan bahawa saya masih mampu melangkah lebih jauh serta memberikan sesuatu yang bermakna kepada industri,” katanya kepada BH Online.
Menurut Eda, kepercayaan dan sokongan berterusan peminat amat dihargai kerana mereka menjadi antara kekuatan yang membolehkannya terus bertahan mengharungi pelbagai cabaran dalam industri seni.
Katanya, dia berharap peminat terus memberikan sokongan dan undian, namun tidak mahu terlalu mengejar kemenangan sehingga mengabaikan nilai penghargaan terhadap setiap sokongan yang diterima.
“Saya sangat menghargai setiap seorang yang sentiasa ada bersama saya kerana tanpa mereka, perjalanan ini tidak akan sama.
“Saya hanya berharap peminat terus memberikan sokongan dan undian. Saya tidak mahu terlalu mengejar kedudukan, sebaliknya mahu menghargai setiap sokongan yang diberikan,” katanya.
Bagaimanapun, Eda tidak menafikan kemenangan tetap menjadi impian, namun menganggap peluang tercalon itu sendiri sudah cukup bermakna dalam perjalanan seninya.
Sementara itu, Den Manjo mengakui masih sukar mempercayai apabila mengetahui lagu Adek Saye Abe Sore berjaya melayakkan diri ke pencalonan ABPBH ke-38.
Den atau nama sebenarnya, Mohamad Hafizzudin Md Yusof berkata, peluang itu langsung tidak pernah terlintas dalam fikirannya memandangkan ABPBH antara anugerah hiburan paling berprestij dan sudah lama bertapak di Malaysia.
“Sejujurnya, saya rasa macam tidak percaya apabila mendapat tahu nama kami tercalon. Hendak kata dijangka, tidak juga. Memang di luar jangkaan kerana saya tidak pernah terfikir lagu ini boleh tercalon dalam ABPBH.
“Selama lagu ini tular, saya tidak pernah terfikir akan tercalon kerana biasanya kita melihat anugerah seperti Anugerah Industri Muzik (AIM) dan sebagainya. Jadi, memang tidak sangka dapat menembusi pencalonan ABPBH.
“Selama ini, kita mungkin fikir muzik Kelantan ini kecil, tetapi rupanya boleh menjadi satu industri besar apabila mendapat sokongan seluruh rakyat Malaysia.
“Jika penerimaan seperti ini berterusan, insya-Allah saya akan terus bersemangat dan aktif menghasilkan lagu untuk menghiburkan rakyat Malaysia,” katanya.
Mengulas strategi untuk membolosi kategori berkenaan, Den berkata, dia belum mempunyai perancangan khusus memandangkan penyertaan kali ini adalah pengalaman pertamanya di ABPBH.
Bagaimanapun, dia akan memanfaatkan platform media sosial untuk mengajak peminat memberikan undian, selain mengingatkan mereka setiap kali mengadakan persembahan di lokasi berbeza.
Dalam pada itu, Den tidak menafikan berasa gementar untuk bersaing dengan calon lain yang disifatkannya mempunyai nama besar dalam industri hiburan tempatan.
“Memang ada tekanan kerana ini kali pertama saya dan Eda tercalon. Apabila melihat nama calon lain, semuanya hebat dan mempunyai nama besar di Malaysia, memang ada rasa gementar.
“Jadi, saya rasa perlu bertenang dan menikmati pengalaman ini. Bagi saya, ini juga satu sejarah kerana lagu Kelantan berjaya mendapat tempat dalam ABPBH.
“Insya-Allah, semoga ada rezeki lagu Adek Saye Abe Sore untuk membawa pulang trofi ABPBH ke-38,” katanya.
Untuk rekod, lagu Adek Saye Abe Sore ciptaan Eddie Hamid mencetuskan fenomena luar biasa apabila meraih lebih 28 juta tontonan di YouTube, sekali gus membuktikan karya berbahasa dialek tempatan mampu menembusi cita rasa pendengar lebih luas. – BH Online –
IMedikel TV






