Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-27 daripada 70 ekonomi dalam IMD World Digital and AI Ranking (WDAIR) 2026, berbanding tangga ke-34 pada tahun lalu.
Pencapaian itu turut meletakkan Malaysia sebagai negara kedua terbaik di ASEAN selepas Singapura, sekali gus mencerminkan kemajuan agenda reformasi ekonomi dan pendigitalan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu didorong antaranya oleh lonjakan 21 anak tangga dalam aspek Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) ke kedudukan ke-14 dunia.
Menurut beliau, aspek kecekapan turut meningkat 10 anak tangga ke kedudukan ke-28, manakala pelaksanaan strategi AI nasional berada di tangga ke-12.
“Malaysia juga mencatat kedudukan ke-18 dalam Pembangunan Tenaga Kerja, kedua dunia bagi graduan sains, kelima bagi modal teroka, keenam bagi eksport berteknologi tinggi dan kelapan bagi insentif pelaburan AI.
“Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 (Negara AI 2030) menyasarkan pewujudan sehingga 300,000 pekerjaan baharu berkaitan AI serta sumbangan tambahan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 1.2 mata peratusan menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya bagi memperkukuh usaha itu, Belanjawan MADANI 2027 menyediakan peruntukan RM30 juta menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerapkan AI serta mengautomasi operasi.
“Peruntukan itu turut meliputi latihan dan pensijilan 5,000 profesional AI, selain penyediaan tambahan 100,000 langganan AI percuma kepada golongan muda,” katanya.
Beliau berkata pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital dan memperluas penggunaan teknologi AI sebagai pemacu pertumbuhan serta penciptaan peluang pekerjaan baharu.
IMedikel TV






