Home Luar Negara PEKERJA DI SELURUH SEPANYOL ADAKAN MOGOK UMUM BANTAH KRISIS PERUMAHAN

PEKERJA DI SELURUH SEPANYOL ADAKAN MOGOK UMUM BANTAH KRISIS PERUMAHAN

MADRID: Ketegangan tercetus di sekatan jalan raya di Sepanyol pada Rabu ketika mogok umum di seluruh negara bagi membantah krisis perumahan bermula, dengan pertempuran dilaporkan berlaku antara kumpulan pemogok, pemandu kenderaan dan polis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Memetik laporan bernama-dpa menerusi Harian Metro, keadaan trafik terganggu, khususnya di Catalonia dan Madrid, menyebabkan ramai orang tidak dapat ke tempat kerja masing-masing.

Mogok itu terutama menjejaskan pengeluar kereta utama seperti Volkswagen di Pamplona, pasaran borong serta pelabuhan komersial seperti Algeciras.

Polis menahan sekurang-kurangnya 23 orang di seluruh negara dalam beberapa demonstrasi sepanjang pagi, lapor penyiar kebangsaan RTVE. Kesatuan sekerja pula menuduh polis menggunakan kekerasan melampau.

Mogok itu, yang dianjurkan oleh dua gabungan kesatuan sekerja terbesar Sepanyol, CCOO dan UGT, berlangsung kira-kira dua setengah minggu sebelum Pilihan Raya Parlimen awal pada 29 November yang ditetapkan oleh Perdana Menteri Pedro Sanchez.

Kerajaan menyokong mogok itu manakala parti pembangkang mengkritiknya sebagai bermotifkan politik. Ini merupakan mogok umum sehari penuh yang pertama di Sepanyol dalam tempoh 14 tahun.

Protes tercetus susulan kenaikan mendadak kadar sewa rumah dan kekurangan kediaman mampu milik. Ia semakin mendapat perhatian selepas pengusiran Maricarmen Abascal, seorang pesara berusia 87 tahun di Madrid, pada September.

Abascal menetap di pangsapuri sewa yang sama selama tujuh dekad dan meninggal dunia di hospital beberapa hari selepas diusir. Kematiannya sejak itu menjadi simbol krisis perumahan di Sepanyol.

Kos perumahan di Sepanyol meningkat lebih pantas berbanding gaji sebenar selama beberapa tahun. Kekurangan pembinaan rumah berbanding keperluan turut menyebabkan harga terus meningkat.

Kesatuan sekerja menganggarkan antara 40 hingga 80 peratus pekerja menyertai mogok itu dalam beberapa jam pertama, bergantung kepada sektor masing-masing. Persekutuan Majikan Sepanyol (CEOE), bagaimanapun melaporkan angka penyertaan yang lebih rendah. – bernama-dpa, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here