Home Sukan MARQUEZ PERLU TUNGGU GELARAN DUNIA KELAPAN

MARQUEZ PERLU TUNGGU GELARAN DUNIA KELAPAN

LUSAIL: Marc Marquez terpaksa menangguhkan hasrat untuk mengesahkan gelaran dunia MotoGP kelapannya selepas menamatkan Grand Prix Qatar di tempat kedua di belakang Marco Bezzecchi, awal pagi tadi.

Memetik laporan Afp melalui Berita Harian, Pelumba Ducati itu berpeluang mempertahankan kejuaraan dunia hujung minggu ini selepas memenangi perlumbaan pecut pada Sabtu, namun memerlukan pencabar terdekatnya, Jorge Martin, menamatkan saingan di luar kelompok mata.

Bagaimanapun, Martin yang mewakili Aprilia berjaya mengutip mata apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, sekali gus memastikan perebutan gelaran masih terbuka dengan dua pusingan perlumbaan berbaki.

Marquez kini boleh mengesahkan kejuaraan dunia kelas perdana kelapan yang menyamai rekod Valentino Rossi sekiranya berjaya mengutip sekurang-kurangnya dua mata lebih berbanding Martin dalam perlumbaan pecut di Portimao, dua minggu lagi.

“Saya hanya cuba menguruskan perlumbaan dalam lima pusingan pertama. Saya sedar ada satu bahagian perlumbaan yang saya sangat pantas, tetapi gaya tunggangan itu menyebabkan tayar hadapan cepat haus,” kata Marquez.

Bezzecchi yang memulakan perlumbaan dari petak utama meraih kemenangan Grand Prix keenam musim ini, sekali gus merapatkan jurang kepada Marquez kepada 74 mata.

Bagaimanapun, pelumba Itali itu yang berada di tangga ketiga kedudukan kejuaraan secara matematik sudah tidak mempunyai peluang untuk meraih gelaran dunia pertamanya kerana baki mata yang boleh dikutip hanya menyamai jurang berkenaan.

Bezzecchi sebelum itu terlepas peluang memberi tekanan kepada Marquez apabila terjatuh dalam perlumbaan pecut pada Sabtu ketika cuba memintas pelumba Sepanyol itu.

“Saya sangat gembira. Ini prestasi yang memang layak kami peroleh. Ia hujung minggu yang hebat dan saya berasa sangat selesa dengan jentera,” kata Bezzecchi.

Sementara itu, Martin gagal mengulangi aksi cemerlang dalam perlumbaan pecut apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas sebelum ini bangkit daripada kedudukan ke-11 di petak permulaan untuk meraih tempat ketiga.

Namun, pelumba itu tetap mendapat tepukan penghargaan daripada pasukannya selepas berjaya mengekalkan peluang dalam perebutan kejuaraan ketika membuat penampilan pertama sejak pergelangan tangan kanannya patah. – AFP, BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here