Home Hiburan FINAS PERTIMBANG DANA DRAMA BERSIRI UNTUK ARTIS VETERAN

FINAS PERTIMBANG DANA DRAMA BERSIRI UNTUK ARTIS VETERAN

HULU KLANG: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sedia mempertimbang cadangan bintang veteran, AR Badul agar dana khas bagi penerbitan drama bersiri yang memberi tumpuan kepada pelakon veteran diwujudkan.

Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi FINAS,’Datuk Hans Isaac berkata, cadangan itu akan dibawa ke peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Ahli Perbadanan FINAS untuk perbincangan lanjut.

Menurut Hans, cadangan itu disifatkan bernas dan berpotensi dilaksanakan menerusi penyesuaian inisiatif sedia ada, iaitu Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR), termasuk dari segi dokumentasi serta format penerbitan.

“Cadangan itu sangat baik. Seperti yang saya nyatakan tadi, saya akan bawa perkara ini kepada jawatankuasa untuk dibincangkan.

“Kita ada Dana STAR yang diperuntukkan daripada bajet tahunan industri. Jadi, mungkin dana itu boleh disesuaikan untuk format drama bersiri,” katanya.

Beliau ditemui pada program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 di sini, hari ini.

Pada program itu, AR Badul dan Norlia Ghani diundang sebagai panel forum yang dikendalikan Fedtri Yahya selaku moderator.

Hans berkata, penerbitan drama bersiri berpotensi memberi impak lebih besar kerana membuka ruang kepada lebih ramai pelakon veteran untuk terbabit dalam sesebuah naskhah.

“Jika kita jadikan projek drama bersiri, mungkin 10 hingga 15 pelakon veteran dapat terbabit serentak dalam satu projek.

“Apabila ada cadangan yang baik, kita jangan ketepikan, sebaliknya kita ambil dan cuba laksanakannya,” katanya.

Terdahulu, AR Badul mencadangkan supaya dana khas bagi penerbitan drama bersiri yang membabitkan pelakon veteran diwujudkan bagi memberi peluang kepada golongan itu terus berkarya.

Menurutnya, meskipun tawaran menerusi dana telefilem sedia ada memberi ruang kepada pelakon veteran, jumlah watak yang terhad menyebabkan hanya segelintir daripada mereka berpeluang terbabit dalam sesebuah penerbitan.

Justeru, AR Badul mencadangkan supaya Kementerian Komunikasi dan stesen penyiaran merangka projek drama bersiri berdurasi panjang yang mampu membuka peluang kepada lebih ramai pelakon veteran secara bergilir-gilir.

“Jika kita wujudkan drama bersiri yang mempunyai episod panjang, ruang itu menjadi lebih luas. Puluhan pelakon veteran boleh diberi peluang mengikut kesesuaian jalan cerita.

“Penggiat seni veteran ini jiwanya kental dan masih mempunyai kudrat serta minat mendalam untuk beraksi di hadapan kamera.

“Kami sangat menghargai segala bentuk sokongan dan keprihatinan masyarakat, namun apa yang lebih bermakna buat warga seni adalah peluang untuk terus bekerja dan menyumbang bakat selagi diperlukan,” katanya.

AR Badul dan Norlia Ghani diundang sebagai tetamu program berkenaan menjelang penganjuran FFM Ke-35 yang dijadual berlangsung pada 21 November ini.-BH Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here