Oleh: Wartawan IMedikel TV
KULAI : Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas di sebuah kolam tadahan air berhampiran Taman Sungai Mas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, dan siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa keluar bekerja kira-kira jam 6.30 pagi selepas mendapati anak mereka sedang tidur bersama kakaknya yang berusia 17 tahun.
“Pada kira-kira jam 10 pagi, ibu mangsa dimaklumkan seorang kenalan bahawa anaknya ditemukan tidak sedarkan diri di kolam tadahan air berkenaan.
“Mangsa kemudian dibawa keluar dari kolam oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kediaman mangsa terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Mangsa dipercayai pergi ke kolam berkenaan bersendirian untuk memancing dan sebatang joran pancing turut ditemui berhampiran lokasi kejadian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kulai pada jam 11.15 pagi. Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.
“Pemeriksaan di tempat kejadian juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya siasatan lanjut masih diteruskan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak serta tidak membiarkan mereka melakukan aktiviti di kawasan berisiko seperti kolam, sungai dan kawasan perairan tanpa pengawasan orang dewasa.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Awang Adzwan Awang Sahari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.17 pagi semalam.
“Enam anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba tujuh minit kemudian.
“Operasi membawa keluar mangsa dijalankan menggunakan tali dan pengusung, sebelum mayat diserahkan kepada polis,”katanya.
IMedikelTV






