Oleh: Afrizam Arif @ I Medikel TV
JELI: Penduduk di hampir 10 kampung di sekitar Batu Melintang dan Sungai Long, di sini mendesak pihak berkaitan termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera bagi menangani ancaman gajah liar yang semakin membimbangkan dan mengancam keselamatan mereka.
Penghulu Mukim Sungai Long Batu Melintang, Wan Azman Wan Musa, mendakwa masalah gajah liar di kawasan terbabit sudah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu, namun keadaan semakin ketara pada tahun ini apabila haiwan berkenaan dilihat memasuki kawasan kampung hampir setiap malam.
“Kejadian terbaru berlaku malam tadi (semalam) apabila sekumpulan lebih 10 ekor gajah dilihat di kawasan Kampung Salor dan Sungai Reng sehingga menyebabkan penduduk bimbang untuk keluar rumah pada waktu malam.
“Malam-semalam sendiri berlaku pertembungan antara penduduk dengan gajah di kawasan Sungai Reng dan Kampung Salor. Dua malam sebelum itu, kumpulan gajah juga dikesan berhampiran rumah penduduk,” katanya.

Menurut beliau, antara kampung yang terjejas ialah Kampung Sungai Long, Kampung Janggut, Kampung Salor, Kuala Long, Jerek, Lawar, Pendok, Belimbing, Batu Melintang, Sungai Rual, Pasir Dusun serta beberapa kawasan lain yang berhampiran habitat hidupan liar berkenaan.
“Memorandum mengenai isu ini juga akan dikemukakan, selain perkara ini turut mendapat perhatian agensi berkaitan termasuk pemimpin tempatan, universiti terdekat dalam usaha mencari penyelesaian bagi cadangan mewujudkan habitat makanan khas atau ‘food bank’ gajah, juga isu pampasan,” katanya.
Pengusaha kebun yang juga pesara kerajaan, Che Mim Ab Rasid, 72, berkata, kumpulan gajah dipercayai turun dari kawasan hutan dan banjaran sempadan Jeli-Gerik sebelum memasuki kawasan pertanian dan penempatan penduduk secara berkumpulan, malah ada kalanya berpecah kepada dua atau tiga kumpulan di lokasi berbeza.
Katanya, pencerobohan gajah liar itu menyebabkan kerosakan tanaman seperti pisang, kelapa sawit, dokong, duku dan pokok kelapa, selain menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk yang sebahagian besarnya bekerja sebagai penoreh getah, pekebun dan pengusaha kelapa sawit.
Menurutnya, ancaman itu bukan lagi tertumpu kepada kerugian tanaman jutaan ringgit semata-mata, sebaliknya melibatkan keselamatan nyawa apabila seorang penduduk berusia 62 tahun cedera dan trauma, selepas terserempak dengan gajah ketika menoreh getah kira-kira dua bulan lalu pada waktu pagi di Kampung Lata Janggut.
Tambahnya, pihak Perhilitan telah dimaklumkan mengenai masalah berkenaan dan pemantauan sedang dilakukan, namun penduduk berharap langkah lebih berkesan dapat dilaksanakan termasuk mempercepatkan pembinaan pagar elektrik.
“Pagar sedia ada sepanjang kira-kira 25 kilometer masih tidak mencukupi untuk menghalang pergerakan gajah yang semakin meluas,” katanya.
Jelasnya, pihak penduduk berharap tindakan segera dapat dilaksanakan sebelum berlaku kejadian lebih serius yang boleh mengorbankan nyawa penduduk.
Sementara itu, I Medikel TV sedang mendapatkan maklum balas rasmi daripada pihak berkaitan berhubung isu berkenaan termasuk perkembangan pembinaan pagar elektrik, langkah mitigasi yang dilaksanakan serta perancangan jangka panjang bagi mengurangkan konflik manusia dan gajah liar di kawasan terjejas.
IMedikel TV






