Home Buletin Semasa MERAUNG LIHAT JASAD SUAMI

MERAUNG LIHAT JASAD SUAMI

KOTA BHARU: Suasana pilu menyelubungi jeti Tok Ime Yie Kedai Piah di sini, hari ini apabila seorang wanita meraung sebelum rebah sebaik melihat jasad suaminya ditemukan lemas selepas dilaporkan hilang akibat terjatuh dari bot, Ahad lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Nor Asnida Mohd Tarmizi, 32, juga terpaksa ditenangkan ahli keluarga, sebelum dibawa masuk ke dalam kenderaan.

Mayat Mohd Aqbar Che Abdullah, 34, ditemukan jam 8.30 pagi tadi, kira-kira 20 kilometer (km) daripada lokasi dilaporkan terjatuh di Pengkalan Pasir Kampung Chekok, Serendah, Kemubu, dekat sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ahmad Fakharuddin Berahim berkata, mayat mangsa ditemukan penduduk kampung dalam keadaan tertiarap dan tersangkut di bawah pam pasir.

“Sebaik menerima maklumat kita ke lokasi penemuan dan mengesahkan mangsa adalah lelaki yang dicari.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan operasi ditamatkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu saudara isteri mangsa, Nor Asmaniza Saali, 46, berkata Allah SWT memakbulkan doa keluarga yang sebelum ini melaksanakan solat hajat di beberapa masjid dan melaungkan azan di lokasi kejadian sepanjang mangsa hilang.

“Alhamdulillah, selepas tiga hari (jasad) Mohd Aqbar ditemukan, memang sedih tetapi kami reda.

“Jumpa mayat pun kami dah bersyukur sangat, terima kasih anggota bomba, polis dan penduduk kampung yang banyak membantu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang buruh dikhuatiri lemas selepas terjatuh bot ketika bekerja di tempat mengorek pasir di situ.

Rakan sekerja dikatakan sempat melihat mangsa terkapai-kapai sebelum tenggelam dalam kejadian 8.30 pagi. – BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here