Kuala Lumpur: “Jangan sampai mereka sudah tiada baru kita mahu mencari, kerana itu adalah penyesalan yang tiada penghujung.”
Memetik laporan Harian Metro, Begitu luahan pempengaruh dan penyanyi, Cik B, 21, yang menasihati masyarakat agar sentiasa berhubung dan menjaga silaturahim dengan ibu bapa masing-masing sementara mereka masih ada hayat.
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik oleh ibunya, usahawan Datuk Seri Vida, Cik B menzahirkan rasa penyesalan mendalam berhubung hubungannya dengan arwah bapanya, Mohammad Amin Yasin yang meninggal dunia pada 23 Oktober lalu.
Cik B atau nama sebenar Nur Edlynn Zamileen Mohammad Amin berkata, jalinan hubungan dengan ibu bapa adalah satu kewajipan tanpa mengira sama ada mereka hidup bersama atau sudah berpisah.
“Sama ada ayah atau ibu yang tiada di sisi, cubalah untuk menelefon atau berhubung dengan mereka. Jangan sampai mereka sudah tiada baru kita hendak mencari.
“Itu penyesalan Cik B. Sekiranya mereka masih ada, walaupun hubungan itu dingin atau tidak mesra, cubalah untuk berbincang dan selesaikan dengan baik,” katanya.
Menurut Cik B, sebagai anak, seseorang tidak akan pernah tahu apa yang tersemat di dalam hati ibu bapa dan mungkin ada perubahan positif yang berlaku dalam diri mereka.
Menceritakan pengalaman peribadinya, Cik B mengakui rasa terkilan kerana hanya berpeluang menemui bapanya selepas insan berkenaan menghembuskan nafas terakhir.
“Cik B sendiri menyesal kerana hanya jumpa sewaktu dia sudah tiada. Sebelum ini memang tidak bersemuka, kali terakhir jumpa sewaktu masih kecil.
“Bagaimanapun, dia tetap ayah Cik B dan penyesalan ini memang tiada kesudahannya,” katanya.
Justeru, dia menitipkan pesan kepada orang ramai supaya tidak melepaskan peluang berbakti dan berhubung dengan ibu bapa masing-masing selagi hayat dikandung badan.
“Siapa sahaja yang masih ada ibu bapa, walaupun mereka sudah bercerai, mereka tetap ibu bapa kita.
“Hubungilah mereka menerusi telefon walaupun tidak dapat selalu bersemuka. Sekurang-kurangnya jumpalah dua atau tiga kali dalam setahun,” katanya.
Terdahulu, Vida bersama anak-anaknya berada di Jakarta, Indonesia ketika menerima berita sedih mengenai kematian bekas suaminya dan mereka sekeluarga menziarahi pusara Mohammad Amin di Kelantan, semalam.
Untuk rekod, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berumah tangga dengan Mohammad Amin pada 2000 sebelum berpisah pada 2008.
Perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie, Muhammad Edrie Zikrie, Cik B dan Muhammad Eric Zaquan.
Bagaimanapun, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie meninggal dunia dalam kejadian kebakaran di rumah Vida di Meru Hill, Ipoh tiga hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2013.-HMetro Online-.
IMedikel TV






