Home Sukan MAN UTD SEDIA BELANJA RM400 JUTA BURU HALL

MAN UTD SEDIA BELANJA RM400 JUTA BURU HALL

Manchester: Manchester United dilaporkan bersedia mengemukakan tawaran baharu sekurang-kurangnya £70 juta (RM400 juta) untuk mendapatkan khidmat pertahanan Newcastle United, Lewis Hall, pada jendela perpindahan musim panas musim depan.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Minat United terhadap pemain antarabangsa England itu kekal utuh meskipun kelab berkenaan masih berdepan ketidaktentuan mengenai kedudukan Michael Carrick selaku ketua jurulatih.

Perkembangan itu hadir selepas kekalahan memalukan 0-3 kepada Bournemouth di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu, yang meningkatkan tekanan terhadap Carrick.

Menurut laporan Football Insider, wartawan Pete O’Rourke berkata Hall kekal sebagai antara sasaran utama United dan kelab itu berpotensi menghidupkan semula usaha mendapatkan pemain berkenaan pada musim panas akan datang.

United sebelum ini dikatakan mahu memperkukuh bahagian tengah pada jendela perpindahan musim panas, sekali gus mengetepikan keperluan menambah pilihan di bahagian pertahanan.

Bekas pertahanan United, Gary Neville, turut mengkritik keputusan kelab membelanjakan wang untuk tiga pemain tengah berbanding dua, sambil menyifatkan kegagalan memperkukuh benteng sebagai satu kecuaian besar.

Hall dilihat sesuai untuk mengisi keperluan United di posisi bek kiri, terutama ketika kelab itu memerlukan pelan penggantian jangka panjang buat Luke Shaw.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan pemain berusia muda itu bukan mudah apabila dia sudah menandatangani kontrak baharu bersama Newcastle sehingga 2031.

Kontrak berkenaan meletakkan Newcastle dalam kedudukan lebih kukuh untuk menentukan masa depan Hall, selain membolehkan kelab itu menetapkan syarat sekiranya menerima tawaran daripada United.

Hall menyertai Newcastle dari Chelsea pada 2023, pada mulanya secara pinjaman, sebelum berkembang menjadi antara pilihan utama pasukan itu.

Dia sudah membuat 80 penampilan dalam EPL sepanjang empat musim bersama kelab berkenaan.

Di peringkat antarabangsa, Hall turut mencuri perhatian apabila diberikan peluang membuat penampilan bersama England ketika kempen Liga Negara-Negara pada 2024, sebelum mengumpul lima penampilan senior tahun ini di bawah kendalian Thomas Tuchel.

Bekas pengendali Newcastle, Eddie Howe, memainkan peranan penting dalam perkembangan Hall sehingga menjadi pemain tetap EPL dan menembusi skuad senior England.

Howe turut dilaporkan menjadi pilihan pengarah teknikal United, Jason Wilcox, sekiranya Carrick dipecat, mengatasi Julian Nagelsmann sebagai calon yang dianggap lebih realistik.

Jika Howe dilantik, pertemuan semula dengan Hall berpotensi menjadi satu kelebihan buat United, namun Newcastle dijangka mempertahankan pemain itu dengan bersungguh-sungguh daripada sebarang cubaan membawanya ke Old Trafford.-AGENSI, HMetro Online-.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here