Ravenna, Itali: Legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho, akan kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif bulan depan apabila mewakili kelab divisyen tiga Itali, Ravenna, menentang seteru tetangga Forli pada 15 November ini.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Kelab Serie C itu mengumumkan perkara berkenaan semalam.
Bekas penyerang Barcelona dan AC Milan berusia 46 tahun itu membantu Brazil menjuarai Piala Dunia 2002 dan memenangi Ballon d’Or pada tahun 2005.
Kali terakhir dia beraksi dalam perlawanan kompetitif ialah bersama kelab Brazil, Fluminense, pada tahun 2015 sebelum mengumumkan persaraan secara rasmi pada tahun 2018.
Ravenna menandatangani Ronaldinho pada Jun lalu sebelum bekas pemain itu memperoleh pegangan saham dalam kelab berkenaan, yang dimiliki rakannya, Ignazio Cipriani.
Cipriani berkata langkah itu bertujuan “mendekatkan seluruh penduduk bandar ini dengan pasukan”.
Ronaldinho tidak mengesahkan hasrat untuk beraksi ketika tiba di Itali pada Ogos lalu, namun tidak menolak kemungkinan menjaringkan gol ke-300 sepanjang kariernya.
“Saya di sini untuk membantu,” kata Ronaldinho ketika itu.
Perlawanan derbi menentang Forli akan berlangsung di Stadium Bruno Benelli, gelanggang Ravenna.
Ravenna kini menduduki tangga kedua Kumpulan B Serie C dengan 20 mata daripada 10 perlawanan, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Spezia.-AGENSI, HMetro Online-.
IMedikel TV






