Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: “Ibu saya bersama dengan dia enam tahun, ibu dah banyak bagi peluang kepada dia, ibu dah penat, ibu saya nak bercerai.”
Demikian luahan anak kepada seorang jururawat yang parah selepas dipercayai ditikam suaminya sebanyak enam kali di sebuah rumah di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, di sini, malam semalam.
Menurut anak perempuan sulung mangsa daripada perkahwinan terdahulu yang dikenali Miza, 19, ibunya sudah beberapa kali memberi peluang kepada suaminya untuk berubah sepanjang enam tahun perkahwinan mereka, namun keadaan itu didakwa berlarutan sehingga mangsa mengambil keputusan untuk memohon perceraian.
Katanya, ibunya juga pernah menerima ugutan bunuh daripada suspek sebelum ini sehingga mangsa membuat laporan polis Ogos lalu.

“Selama enam tahun dia berkahwin ibu saya cakap dia selalu bergaduh dan setiap kali pergaduhan memang cakap nak bunuh.
“Sampailah ada pergaduhan besar yang bersaksikan ibu kepada suspek.
“Ibu saya pun sudah penat dan minta cerai. Sebab itulah perkara ini berlaku,” katanya.
Mengimbas kejadian, anak mangsa berkata, dia berada di rumah berkenaan sebelum keluar kira-kira jam 8.30 malam untuk pulang ke rumah bapanya yang terletak berhampiran.
Menurutnya, sebelum kejadian, ibunya pernah meninggalkan rumah dan tinggal di hotel selama beberapa malam kerana bimbang dengan keselamatan diri selepas didakwa menerima ugutan daripada suaminya.
Bagaimanapun, katanya, suspek masih cuba menghubungi dan mencari mangsa sehingga mangsa memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga sebelum kembali tinggal bersama ibunya.
Miza berkata, ibunya pada awalnya tidak menyedari dirinya cedera parah selepas ditikam kerana masih dalam keadaan sedar.
“Selepas ibu jatuh dan kepalanya terhantuk pada dinding, barulah dia nampak darah yang banyak,” katanya.
Lebih menyayat hati, Miza mendakwa adiknya yang juga anak kepada pasangan itu yang berusia tiga tahun berada di rumah ketika kejadian turut mengalami trauma selepas menyaksikan insiden berkenaan.
Miza berkata, pada malam kejadian, suspek dipercayai datang ke rumah dengan alasan mahu bertemu anak mereka.
“Dia sampai menangis dan mengatakan ‘Daddy jahat’,” katanya.
Sementara itu ibu mangsa yang mahu dikenali Kak Nik, 78, berkata suspek datang ke rumah dan menarik pintu sebelum berlaku pertengkaran dan serangan terhadap mangsa.

“Dia tarik pintu itu dan terus menyerang anak saya. Saya tak tahu dia ada pisau, saya ingat dia nak tumbuk saja,” katanya.
Kak Nik berkata dia turut mengalami kecederaan pada bahagian jari manis dan lengan kiri ketika cuba menghalang pertengkaran itu.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai mengalami kecederaan serius termasuk pada bahagian hati, usus dan leher dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk menerima rawatan.
IMedikel TV






