Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang jururawat berusia 44 tahun parah ditikam suaminya sebanyak enam kali dalam kejadian di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, di sini, malam kelmarin.
Mangsa mengalami kecederaan tikaman pada badan serta leher dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.
Susulan kejadian itu, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun selepas menyerah diri.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam sebelum polis menerima laporan berhubung kejadian pada malam sama.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
“Polis masih belum mengenal pasti motif kejadian,” katanya memetik Harian Metro.
Beliau berkata pihaknya turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
IMedikel TV






