Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BENTONG: Seramai 31 pegawai Penjara Bentong menyertai program Pengurusan Stres dan Keseronokan Bekerja dengan tema ‘Rehat Mental, Rehat Fizikal Dalam Organisasi Penjara Bentong’ di Chemerkaw Resort, Raub, kelmarin.
Program anjuran Unit Pengurusan Psikologi Penjara Bentong, antara inisiatif untuk memberi ruang kepada warga kerja bagi merehatkan minda dan fizikal selain meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan tekanan dalam kehidupan dan persekitaran kerja.
Pengarah Penjara Bentong, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Ahmad Rizal Mohd Ghazali berkata, program yang diadakan turut memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan mesra.

“Menerusi aktiviti itu secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan warga kerja seterusnya memupuk semangat kerjasama dan kekitaan dalam organisasi yang memerlukan kerjasama secara berterusan,” katanya.
Turut sama pada program berkenaan Timbalan Penguasa Penjara Mohammad Amin Rosli.
Katanya, aktiviti diadakan memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan mental dan fizikal, selain dapat membantu peserta kembali menjalankan tugasan dengan lebih positif, bersemangat dan seimbang.
“Program diadakan dalam suasana santai dan kondusif dengan penglibatan terbaik daripada peserta selaras dengan usaha Unit Pengurusan Psikologi dalam memperkukuh kesejahteraan warga kerja Penjara Bentong.
“Rata-rata peserta berpendapat program sehari itu berjaya mencapai matlamatnya,” katanya.
Ahmad Rizal berkata, lebih banyak program seumpama itu akan diadakan pada masa akan datang membabitkan kakitangan disemua peringkat dalam usaha membentuk semangat kerja secara berpasukan.
Rata-rata peserta berpendapat program yang diadakan perlu diadakan dari masa kesemasa, aktiviti air yang diadakan dapat menguji kecergasan dan kekuatan fizikal.
IMedikel TV






